Sabtu, 21 Januari 2017 | 12:05am

Rempah ratus gantikan sodium

MENGGUNAKAN herba dan rempah ratus seperti cili, halia, buah pelaga dan kayu manis sudah mencukupi untuk menjadikan masakan lebih enak dengan perisa semula jadi ini.

KITA biasa mendengar apabila memasak, masukkan secubit garam kerana ia adalah elemen penting dalam menentukan apakah rasa yang dihasilkan dalam masakan.

Bagaimanapun, garam juga adalah punca menyebabkan ramai mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi dan komplikasi penyakit serangan jantung serta strok.

Kebanyakan makanan sudah mengandungi sodium atau garam khususnya herba dan rempah ratus yang bukan saja menambah perisa tetapi berkhasiat untuk kesihatan.

Menggunakan herba dan rempah ratus seperti cili, halia, buah pelaga dan kayu manis sudah mencukupi untuk menjadikan masakan lebih enak dengan perisa semula jadi ini.

Sepasukan penyelidik dari Universiti California, San Diego dan Johns Hopkins Amerika Syarikat (AS) mencadangkan memasak menggunakan herba dan rempah mengurangkan sehingga 1,000 mg jumlah pengambilan sodium seharian penduduk AS.

Kekal diet berkualiti

Profesor Bersekutu Universiti California, AS Dr Cheryl Anderson, berkata mengajar pengguna menyediakan makanan menggunakan rempah dan herba dengan kurang garam adalah penyelesaian positif dalam mencegah penyakit bahaya.

"Penggunaan herba dan rempah memberikan diet berkualiti tetapi pada masa sama memberikan rasa enak kepada masakan," katanya.

Antara herba berkenaan adalah kayu manis yang boleh menggantikan garam tetapi juga memiliki keupayaan untuk mengekalkan tahap gula di dalam darah dan mengurangkan kolesterol.

BUAH pelaga.

Buah pelaga lazimnya ditambah di dalam minuman juga kerana rasanya yang agak kuat seakan gabungan halia dan garam apatah lagi sekiranya ditambah dengan jintan putih dan biji ketumbar.

Cili merah atau serbuk cili yang biasanya ditambah dalam makanan juga boleh digunakan sebagai pengganti garam yang memberikan rasa pedas kepada masakan.

Gantikan dengan serbuk bawang putih

Selain itu, serbuk bawang putih juga bukan saja menambah perisa makanan yang dimasak tetapi juga memiliki khasiat untuk kesihatan seperti mengurangkan kolesterol.

Tambahkan serbuk bawang putih ke dalam daging, ikan atau pasta yang sediakan sebagai pengganti garam menjadikan masakan anda bukan saja lebih enak tetapi sihat.

Bawang merah juga adalah penambah perisa semula jadi dalam masakan tetapi rasanya agak kuat jika terlalu banyak dalam masakan.

Jus lemon adalah bahan pengawet semula jadi dan boleh menjadi pengganti garam yang terbaik kerana ia mengekalkan rasa pedas dalam masakan.

SERBUK bawang putih.

INFO

*Sumber makanan lain yang boleh menggantikan garam:

-Gunakan serbuk lada hitam ke atas pasta, telur hancur, piza, ikan dan sup.

-Tambahkan herba dan rempah ke dalam pasta, sayur dan daging seperti bawang putih, halia, cili dan jus lemon.

-Masak stok sendiri berbanding menggunakan kiub perisa atau gunakan produk rendah garam.

-Cuba bakar atau panggang sayur seperti cili merah, tomato untuk mengekalkan perisanya.

Tip makan luar:

*Sekiranya makan di restoran atau membawa pulang ke rumah, anda masih boleh mengurangkan garam dengan membuat pilihan makanan rendah garam seperti:

-Piza- pilih sayur atau ayam berbanding peperoni atau lebih keju.

-Pasta- pilih dengan sos tomato bersama sayur atau ayam berbanding sosej atau keju.

-Burger- elakkan bahan mengandungi tinggi garam seperti keju dan sos barbeku dengan memilih salad.

-Masakan Melayu- pilih nasi kosong berbanding nasi goreng.

-Sandwic- elakkan keju cheddar berbanding ayam, telur, mozarrela atau sayur seperti avocado, cili panggang atau salad.

-elakkan sayur jeruk atau mustard yang tinggi kandungan garam.

*Orang dewasa memerlukan tidak lebih enam gram garam sehari atau satu sudu teh garam.

*Kanak-kanak perlu kurang makan garam.

*Bahaya garam

-meningkatkan tekanan darah tinggi

-garam berlebihan menyebabkan sekatan air di dalam badan.

-memburukkan lagi penyakit diabetes, gout dan obesiti.

Berita Harian X