Jumaat, 20 Januari 2017 | 12:15pm

Lelaki hilang selepas bot terbalik

KOTA KINABALU: Seorang lelaki hilang selepas bot jenis kumpit dinaiki bersama seorang rakannya terbalik di perairan Dogoton berhampiran Pulau Banggi, Kudat, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Samri Santalia, 20, dipercayai hanyut selepas bot dinaiki dipukul ombak besar.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dan rakannya dalam perjalanan ke sebuah pulau di kawasan berkenaan untuk menghantar barangan elektrik.

Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Rahim Razali, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi.

Katanya, selepas menerima maklumat, arahan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 7.45 pagi tadi dan pihaknya juga telah bertemu rakan mangsa bagi mendapatkan lokasi tepat kejadian.

"Difahamkan selepas bot terbabit terbalik, pengadu cuba membantu mangsa namun gagal berikutan keadaan ombak deras dan pengadu kemudian berenang semula ke bot bagi mendapatkan bantuan penduduk kampung berhampiran.

"Bagaimanapun, usaha mencari rakannya yang hilang bersama penduduk kampung gagal dan dia kemudian membuat laporan polis serta diajukan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Rahim berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan tidak memakai jaket keselamatan serta tidak pandai berenang.

Berita Harian X