Jumaat, 20 Januari 2017 | 7:38am

Mayat budak ditemui tersangkut pada pokok nipah

SANDAKAN: Mayat kanak-kanak yang hilang selepas tergelincir ke Sungai Gum-Gum Besar, dekat sini, ditemui malam tadi.

Mayat Mohd Helmizan Mohd Adizan, 11, ditemui tersangkut pada pokok nipah pada jam 8.40 malam tadi, kira-kira 2.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew, berkata mangsa ditemui oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada anggota bomba.

"Operasi mencari yang dilaksanakan dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) ditangguh pada jam 7.20 petang semalam.

"Mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, Mohd Helmizan dilaporkan ke sungai terbabit bersama beberapa rakannya untuk mandi, sebelum tergelincir ke sungai dan dibawa arus deras.

Berita Harian X