Jumaat, 20 Januari 2017 | 6:00am

Tak prihatin punca pembaziran ubat


DUNas menekankan komitmen kerajaan dan pihak berkaitan farmaseutikal di sektor awam dan swasta ke arah mencapai matlamat berkaitan pengurusan ubat-ubatan berkualiti.

MALAYSIA mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang merangkumi pelbagai indikator seperti jumlah pesakit, penyediaan perkhidmatan oleh doktor, doktor pergigian, ahli farmasi, pembekal ubat-ubatan dan agensi yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Menurut sumber statistik Kesihatan Dunia 2016, Kerajaan Malaysia membelanjakan 4.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan. Majoriti rakyat Malaysia bergantung kepada kemudahan awam yang disediakan kerajaan.

Perbelanjaan penyediaan ubat-ubatan untuk pesakit dimasukkan bersama dalam bajet tahunan kementerian dan jumlahnya agak besar. Justeru, setiap pihak perlu memandang serius bagaimana kaedah terbaik perbelanjaan penjagaan kesihatan ini mampu memberi kesan optimum kepada masyarakat.

Malaysia juga mempunyai Dasar Ubat Negara (DUNas) yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006.

Semakan penuh bagi dasar ini dibuat pada Oktober 2012, menekankan komitmen kerajaan dan pihak berkaitan farmaseutikal di sektor awam dan swasta ke arah mencapai matlamat berkaitan pengurusan ubat-ubatan berkualiti.

Objektif dasar ini juga sangat jelas iaitu perolehan sama rata dan penggunaan yang rasional ubat-ubatan penting berkualiti, selamat, berkesan dan mampu dimiliki bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Tak patuh arahan

Namun, mengikut laporan Kaji Selidik Kebangsaan Mengenai Penggunaan Ubat-Ubatan (NSUM) oleh pengguna Malaysia 2015 terhadap 3,081 responden, mendapati beberapa parameter kajian kurang selari dengan objektif DUNas.

Antaranya, 73 peratus responden tidak mematuhi arahan pengambilan ubat sepanjang 2015, 33 peratus responden berkongsi ubat dengan pihak lain, 70.8 peratus responden memerlukan sesi kaunseling tambahan dan 75.1 peratus responden memerlukan maklumat tambahan ubat.

Laporan kajian ini boleh membuka mata setiap pihak kerana kegagalan pematuhan dan tatacara pengambilan ubat-ubatan menjurus kepada pembaziran ratusan juta ringgit setiap tahun.

Punca pembaziran juga disumbangkan oleh sikap pesakit suka menukar jenis ubat, berhenti memakan ubat tanpa nasihat doktor dan ada pesakit yang mengambil lebih ubat dari klinik yang berbeza. Ini menyebabkan isu lambakan ubat terjadi dan mungkin sebahagiannya akan mencapai tarikh luput.

Gejala ini sangat berkait rapat dengan kefahaman pesakit berkenaan penyakit dihidapi, sifat spesifik tindakan ubat terutama dalam kalangan pesakit kronik.

Ketidakpatuhan pengambilan ubat oleh pesakit juga disumbangkan oleh pihak yang menyediakan perkhidmatan sama ada doktor, pembantu dan ahli farmasi dan sektor farmaseutikal.

Fakta ini disokong berdasarkan lebih 70 peratus responden memerlukan kaunseling dan informasi tambahan berkenaan ubat. Justeru, pembaziran perlu dilihat daripada kedua-dua pihak dan ia saling berkait rapat.

Pesakit kena prihatin

Oleh kerana penyediaan penjagaan kesihatan dan kos penyediaan ubat di sektor awam ditanggung hampir sepenuhnya oleh pihak kerajaan, pesakit mungkin tidak berasa terbeban dengan ubat yang diterima.

Sikap ketidakprihatinan boleh menyebabkan lebihan ubat dan terbiar, sedangkan pengambilan dos berlebihan boleh memudaratkan atau ketidaktepatan dos ubat juga memberi kesan ke atas kegagalan kawalan dan penyembuhan penyakit.

Ini juga menyumbang kepada kegagalan mematuhi satu komponen DUNas, iaitu kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat. Ubat berlebihan juga seharusnya dipulangkan kepada klinik dan hospital untuk proses dokumentasi, sekali gus boleh mengelak penyalahgunaan pihak tidak bertanggungjawab.

Tindakan drastik daripada laporan kaji selidik NSUM 2015 ini perlu diberi perhatian segera dan perlu dibabitkan pelbagai pihak bagi memastikan objektif DUNas tercapai.

Kempen kesedaran dan rasional penggunaan ubat perlu diterapkan bukan sahaja di premis kerajaan, malah agensi swasta yang menyediakan perbekalan dan perkhidmatan perlu digembleng bersama.

KKM juga disaran menjalankan audit dalaman dengan lebih rapi dan tindakan pembetulan serta pencegahan audit perlu juga diterapkan. Ini sebagai satu langkah mengesan masalah ini pada peringkat awal.

Kumpulan pensyarah yang mengajar di fakulti atau sekolah perubatan dan farmasi boleh memainkan peranan dengan memasukkan komponen rasional penggunaan ubat dalam kurikulum pengajian peringkat universiti supaya pelajar memahami komponen DUNas apabila mereka bekerja nanti.

28 dibaca
Berita Harian X