Jumaat, 20 Januari 2017 | 12:02am

Ajakan kepada agama tauhid


FOTO hiasan. Mendalami ilmu agama. - Foto Iqmal Haqim Rosman

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu juga pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam." (Surah Ali-Imran, ayat 64)

Ayat ini menyatakan satu lagi pendekatan yang boleh ditawarkan sebagai pilihan kedua untuk mendekati golongan ahli kitab iaitu mencari jalan kerjasama dengan mengemukakan titik persamaan sebagai laluan dua hala.

Jalan ini disebut akhir-akhir ini sebagai dialog disesuaikan mengikut isu dan masalah. Menariknya, ayat ini memperkatakan mengenai tauhid kepada Allah SWT yang menekankan supaya tidak menyembah melainkan Allah SWT, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan tidak memuja atau mendewakan manusia.

Sesetengah mufassirin mengulas ayat ini bersama kisah Adiy bin Hatim, seorang Nasrani yang memeluk Islam selepas mendengar ayat ini.

Beliau memahami daripada perkataan 'arbab' yang menunjukkan pendewaan sesama mereka itu benar berlaku.

Ahli kitab mendewakan ulama mereka dan Nabi Muhammad SAW membuktikannya melalui sabda Baginda: "Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, kemudian mereka ikut apa yang dikatakan oleh ulama itu." Adiy mengesahkan sebagai benar apa yang disabdakan itu.

Kita diarahkan supaya jangan tunduk kecuali hanya kepada Tuhan yang memiliki kekuasaan mutlak dalam menetapkan hukum, yang memiliki kuasa menghalal dan mengharamkan. Janganlah segelintir daripada kita menjadikan yang lain sebagai Tuhan, selain daripada Allah SWT.

Setiap Muslim wajib beriman kepada rasul di samping keimanan tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW. Inilah umat Islam yang sebenarnya yang memiliki jiwa besar.

Kebencian tidak menguntungkan

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (hai orang mukmin): Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya." (Surah al-Baqarah, ayat 136)

Di atas asas toleransi inilah sebenarnya tamadun umat Islam berkembang. Orang bukan Islam buat kali pertama dalam sejarah hidup mereka melihat bagaimana Islam membina tamadun tanpa prejudis kepada orang lain bahkan memberi ruang cukup luas kepada bukan Islam untuk menyumbang kepada pembinaan kemajuan dan ketamadunan dunia.

Jelas sekali, Islam tidak membenarkan kita bertindak zalim kepada penganut agama lain melalui tindakan kekerasan atau melahirkannya dalam bentuk provokasi tulisan atau ucapan.

Islam mewajibkan pemerintah menjaga tempat ibadah mereka daripada dicerobohi dan tidak masuk campur urusan adat kepercayaan mereka.

Bukankah penghinaan, ugutan dan menimbulkan bibit kebencian kepada penganut agama lain adalah dicela oleh al-Quran kerana akan menimbulkan permusuhan dan kebencian yang pasti tidak menguntungkan sesiapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan." (Surah al-A'nam, ayat 108)

Pendakwah perlu berdakwah mengikut keadaan, suasana dan sasaran dakwah. Ada kalanya dakwah memerlukan sedikit kekerasan jika sasarannya sombong, degil dan besar diri. Sebaiknya berdialog untuk berbincang secara telus, terbuka tanpa sentimen taksub dan emosi marah.

Jika kewarasan ini dapat diterima, maka tembok besar yang menghalang laluan dua hala mampu diwujudkan, sementara perbezaan lain dapat diperkecilkan jika tidak dapat dihapuskan atau disatukan.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

88 dibaca
Berita Harian X