Jumaat, 20 Januari 2017 | 12:02am

Tampil segak bergaya

KESAN parut jerawat yang memenuhi wajah memberi kesan penampilan kurang menawan dan boleh menjejaskan keyakinan diri.

Selain kulit tidak sihat, kehadiran janggut atau misai yang dibiarkan tumbuh tanpa penjagaan rapi juga membuatkan wajah tampak lebih tua berbanding usia sebenar.

Perkara itu juga mendorong ramai lelaki, sanggup melakukan apa saja untuk menyingkirkannya daripada penglihatan kasar.

Hakikatnya, kini lelaki juga mengambil berat soal penjagaan dan penampilan diri ketika berdepan masyarakat.

Malah, semakin ramai lelaki mula menyedari kepentingan penjagaan diri yang dapat memberikan keyakinan. Mereka mula menunjukkan keprihatinan untuk memastikan penampilan kemas dan menarik.

Mula tunjuk prihatin

Pasaran kecantikan dan penjagaan diri juga semakin luas mempromosikan pelbagai produk untuk membantu lelaki memperbaiki penampilan menggunakan produk khusus.

Berikut beberapa panduan untuk lelaki bagi mendapatkan idea penjagaan diri agar tampil segak bergaya;

* Krim cukur DIY

Rutin ini ada ketika boleh menjadi haru-biru hingga kulit terluka kerana tergesa-gesa menggunakan pisau pencukur di dagu mengakibatkan luka yang teruk.

Penggunaan bahan atau krim pencukur yang mengandungi bahan kimia juga sering dikaitkan sebagai pendorong kepada masalah kanser .

Justeru, penting bagi lelaki mempelajari selok-belok bercukur dengan menggunakan bebas kimia dibancuh sendiri di rumah bagi membolehkan kesenangan melakukan aktiviti itu.

Antara bahan boleh disapukan pada bahagian berbulu adalah shea butter, minyak kelapa, minyak zaitun dan minyak badam bagi memudahkan proses mencukur dijalankan.

* Pulihkan kulit kasar

Sungguhpun wajah kasar menyerlahkan lagi identiti kelelakian, struktur kulit kotor dan berkerak bukan pilihan terbaik untuk kelihatan kacak.

Keadaan kulit yang kering, kusam dengan tekstur yang tidak sekata membuatkan penampilan wajah kelihatan tidak sempurna dan boleh membuatkan kelihatan kotor.

Bagi menyingkirkan kulit kasar, cuba sapukan minyak kelapa dan jojoba pada kulit wajah serta dijadikan sebagai rejim penjagaan harian.

* Kurangkan kedutan

Selain penggunaan produk, kawalan diet seimbang dan sihat juga sebenarnya membantu bagi memberikan penampilan kulit sihat berseri.

Kurangkan pengambilan hidangan berasaskan daging dan produk tenusu secara berlebihan kerana ia boleh membuatkan kulit tua sebelum usia.

Selain itu, elakkan pengambilan minuman mengandungi kandungan kafein tinggi seperti kopi dan elakkan menghisap rokok kerana nikotin setiap sedutan rokok akan membunuh sel kolagen terkandung.

* Pulihkan kesegaran kulit

Pengambilan hidangan sihat dan sayur-sayuran sebenarnya dapat membantu mengembalikan kesegaran dan kesihatan kulit anda.

Cuba amalkan diet lengkap dengan sayur-sayuran segar seperti kobis diperkaya dengan kandungan vitamin C dan A membolehkan penyamaran garisan halus pada kulit wajah.

Selain itu, kobis juga dapat menyingkirkan kandungan toksin dalam tubuh yang menjadi punca kepada penuaan sebelum usia.

* Gigi putih bersih

Gigi juga memainkan peranan penting bagi menyerlahkan lagi identiti sempurna. Amalkan pengambilan diet mengandungi bahan tinggi dengan kandungan alkali seperti sayur hijau, buah-buahan dan gandum untuk mengekalkan tekstur gigi kuat, bebas masalah serta bersih.

Elakkan juga pengambilan minuman mengandungi kafein seperti kopi dan teh hitam yang boleh membuatkan gigi berubah warna menjadi kuning.

* Hilangkan bengkak mata

Keadaan bawah mata membengkak akan menjadikan wajah nampak hilang maya dan tidak fokus seperti dalam keadaan sentiasa mengantuk.

Ia boleh membuatkan individu lain terasa kurang yakin apabila melihat diri anda seakan tidak bermaya dalam melakukan aktiviti harian.

Maka, untuk menghilangkan kesan bengkak akibat takungan air dan tekanan anda boleh cuba gunakan beberapa teknik penjagaan mudah dan menjimatkan.

Antaranya adalah tekup mata menggunakan sudu sejuk, hirisan timun dan uncang teh diletakkan pada kedua belah mata selama 15 minit setiap hari.

Info

Tip penjagaan diri lelaki

  • Mandi untuk elak badan berbau
  • Pemilihan produk wajah bersesuaian
  • Cukur mengikut tempoh sesuai
  • Lebihkan minum air masak
  • Potong kuku kaki dan tangan
  • Kemaskan gaya rambut
Berita Harian X