Khamis, 19 Januari 2017 | 7:12pm

UMW Holdings lupus perniagaan minyak dan gas


UMW Holdings Bhd merancang menamatkan perniagaan minyak dan gas.- Foto UMW

suffianbh.com.my

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd akan menamatkan perniagaan minyak dan gas dengan melupuskan semua 55.7 peratus kepentingannya dalam UMW Oil and Gas Corp Bhd (UMW OG) kepada pemegang-pemegang saham terpilihnya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Badrul Feisal Abdul Rahman, berkata ini bagi memberi laluan kepada UMW OG bergabung dengan dua anak syarikat berkaitan minyak dan gas milik Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), iaitu Icon Offshore Bhd dan Orkim Sdn Bhd.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menjadikan UMW OG penyedia perkhidmatan pesisir pantai bersepadu utama di rantau ini. Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung cadangan korporat itu di sini petang tadi.

Sementara itu, Presiden UMW OG Rohaizad Darus, berkata di bawah cadangan penggabungan itu UMW OG akan membeli 42.3 peratus kepentingan dalam Icon membabitkan pertimbangan tunai RM248.88 juta menerusi penerbitan saham baharu, dan 95.5 peratus kepentingan dalam Orkim membabitkan pertimbangan tunai RM472.7 juta.

Beliau berkata, UMW OG akan membuat tawaran pengambilalihan mandatori (MGO) bagi baki saham dalam Icon pada harga 50 sen sesaham yang akan dilunaskan sama ada secara tunai atau penerbitan saham baharu UMW OG pada harga 80 sen seunit. Icon kemudiannya akan dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia.

Janji niaga ini akan menyaksikan EKUINAS muncul sebagai pemegang saham dalam UMW OG menguasai 23.1 peratus kepentingan dalam UMW OG, pemegang saham kedua terbesar selepas Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menguasai 39.7 peratus.

EKUINAS memberikan komitmen untuk membuat permodalan semula sehingga RM550 juta dalam UMW OG.

21 dibaca
Berita Harian X