Khamis, 19 Januari 2017 | 6:10pm

7 kesalahan tanpa kompaun dalam Ops TBC 2017


KETUA Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan tujuh kesalahan utama tanpa kompaun bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2017.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nadzri Siron, berkata pelaksanaan itu akan diadakan bersempena Operasi Bersepadu Tahun Baru Cina 2017 (Ops TBC 2017) bermula 21 Januari sehingga 5 Februari 2017.

Jelas beliau, tujuh kesalahan utama itu termasuk gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan serta memandu di lorong kanan secara berterusan bagi bas dan kenderaan perdagangan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi undang-undang ini, di mana pesalah akan didakwa di mahkamah dan dikenakan denda maksimum RM2,000," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Datuk V Valluvan dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Ops TBC 2017 disertai 2,000 penguatkuasa JPJ. Selain itu, JPJ turut menyelaras kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan polis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Nadzri berkata, konsep penguatkuasaan yang julung kali dilakukan itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dan sekiranya memberi kesan positif, akan dikekalkan pada masa hadapan.

Beliau berkata, pihaknya turut menguatkuasa larangan penggunaan kenderaan barangan di lebuh raya raya pada 26, 27, 31 Januari dan 1 Februari 2017 iaitu sebelum serta selepas sambutan Tahun Baru Cina, bagi mengurangkan kesesakan.

Pada tarikh yang sama, katanya, JPJ juga mengadakan Operasi Khas Motosikal secara serentak di seluruh negara kerana ia juga menjadi salah satu penyumbang kemalangan jalan raya yang tinggi di negara ini.

"Sepanjang musim perayaan, JPJ akan membuka bilik kawalan di setiap negeri dan daerah yang beroperasi 24 jam, bertujuan memantau perjalanan penguatkuasaan yang dilakukan anggotanya termasuk menerima aduan orang ramai," katanya.

49 dibaca
Berita Harian X