Khamis, 19 Januari 2017 | 6:00pm

Ying Ying enggan lepas peluang terhidang


TEY Seu Bock. - Foto Rosli Rahmat

SIBU: Pemain perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying enggan menoleh ke belakang dan mensia-siakan peluang yang sudah terhidang dalam usahanya untuk melangkah ke separuh akhir Malaysia Masters 2017.

Naib juara remaja dunia 2015 itu, berkata ini adalah peluang terbaik buat dirinya untuk melangkah ke kelompok empat terbaik selepas kejayaan mara ke suku akhir buat kali pertama dalam kejohanan bertaraf Grand Prix Emas.

Ying Ying mengekalkan momentum cemerlangnya apabila mengatasi pemain Taiwan yang juga pilihan keempat, Hsu Ya Ching 21-8, 21-8 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

"Saya rasa sedikit bertuah kerana undian kali ini memihak kepada saya. Hari ini pun lawan saya mengalami kecederaan dan tidak dapat bermain dengan baik dan saya gunakan peluang itu sebaiknya.

"Saya gembira berjaya mara ke suku akhir dan diharapkan dapat maju selangkah lagi dalam kejohanan ini. Sasaran saya sebenarnya sudah tercapai selepas mara ke suku akhir tetapi saya mahu cuba lakukan yang lebih baik," kata Ying Ying yang mempunyai hobi melukis kartun animasi jika ada masa lapang bagi meredakan tekanan.

Pemain berusia 20 tahun itu akan bertemu pemain Hong Kong yang juga pilihan kedua, Yip Pui Yin pada aksi suku akhir, esok.

Ying Ying menjadi sandaran utama Malaysia dalam acara perseorangan wanita di suku akhir, esok selepas pemain harapan, Goh Jin Wei dan Sonia Cheah kecundang di pusingan kedua.

"Ia sudah pasti akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi saya fikir peluang saya cerah," katanya.

Berita Harian X