Khamis, 19 Januari 2017 | 5:29pm
PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kiri). - Foto BERNAMA

Penyusunan semula FIC perkukuh perniagaan FELDA - Najib

KUALA LUMPUR: Penyusunan semula Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh lagi sayap pelaburan dan perniagaan FELDA, kata Datuk Seri Najib Razak.

Catatan terbaru beliau dalam blog NajibRazak.com, hari ini, Perdana Menteri berkata: "Hasrat Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk menyusun semula Ahli Lembaga Pengarah FIC, adalah sejajar dengan matlamat tersebut."

"Saya percaya usaha-usaha lain akan dibuat bagi memastikan perniagaan Felda terus berkembang dan mencatat keuntungan yang akan memberi lebih manfaat kepada warga peneroka," katanya.

FIC adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

Objektif utama FIC ialah memberi tumpuan terhadap perniagaan strategik melalui pemerolehan atau kolaborasi yang mungkin memberi faedah kepada syarikat dan pihak berkepentingannya dalam jangka panjang.

Dalam temu bual bersama Bernama Selasa lalu, Shahrir yang baru dilantik, berkata semua ahli lembaga pengarah FIC diarah meletak jawatan dalam usaha untuk menyusun semula syarikat tersebut dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

Ini adalah langkah pertama yang utama bagi FELDA sejajar dengan pengumuman awal beliau mengenai rombakan pengurusan yang besar dalam FELDA. - BERNAMA

Berita Harian X