Khamis, 19 Januari 2017 | 4:40pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan F&N, Lim Yew Hoe. - Foto Asyraf Hamzah

F&N rombak strategi hadapi tahun mencabar

KUALA LUMPUR: Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) merombak strategi laluan ke pasaran yang digunakan pakai selama berdekad di negara ini bagi mengurangkan kos, melancarkan sistem secara bersepadu, selain meluaskan penembusan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Lim Yew Hoe, berkata usaha yang dirintis di Kawasan Utara Semenanjung tahun lalu itu juga merangkumi pengurusan inventori secara berhemah bagi memastikan capaian produk lebih luas kepada keseluruhan portfolio selain menghasilkan kecekapan operasi optimum.

"Pasukan yang lebih bersepadu ini akan melanjutkan rangkaian lengkap portfolio minuman ringan dan produk tenusu kami kepada semua saluran jualan F&N bagi menjana lebih banyak perniagaan kepada pengedar, menawarkan lebih banyak produk kepada pelanggan dan menghasilkan tahap kecekapan lebih tinggi.

"Usaha ini dijangka mengukuhkan kedudukan pasaran dan berpotensi meningkatkan jualan sehingga RM300 juta dalam tahun-tahun mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-55 F&N di sini hari ini.

Yew Hoe, berkata selain itu F&N juga sedang menilai semula model perniagaan dalam semua aspek rantaian nilai termasuk keluasan portfolio, inovasi produk dan pembungkusan, penggudangan dan logistik.

Proses itu, katanya, akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu bagi mencapai pertumbuhan mapan dan meluaskan capaian di luar pasaran tradisional.

Beliau berkata, pembungkusan produk dan strategi inovasi akan diperkenalkan bagi memenuhi keperluan khusus rangkaian pelanggan pelbagai, termasuk pengguna individu, hotel, restoran dan kafe, selain pelanggan perindustrian dalam sektor makanan, minuman dan konfeksi.

Meluaskan pasaran eksport terus menjadi keutamaan kumpulan itu.

Beliau berkata, F&N akan mengeksport lebih banyak produk jenama sendiri ke pasaran serantau mulai tahun ini.

"Jenama susu pekat 'Teapot' sudah menembusi pasaran Indonesia," katanya.

Eksport menyumbang lebih separuh kepada keuntungan bersih syarikat. F&N turut mengeluarkan produk kepada pihak ketiga (OEM).

Yew Hoe, berkata operasi F&N di Thailand menyumbang sekitar 40 peratus kepada pendapatan kumpulan dan pihaknya menyasar meraih penguasaan pasaran lebih besar.

Bagi tahun berakhir 30 September 2016, F&N meraih pendapatan RM4.17 bilion, naik 1.5 peratus, daripada RM4.11 bilion tahun sebelumnya.

Untung bersih kumpulan menokok 32.7 peratus kepada RM442.9 juta daripada RM333.8 juta.

Berhubung prospek 2017, beliau berkata tahun ini dijangka satu lagi tempoh yang mencabar.

Beliau berkata, harga gula adalah penentu utama kepada tahap keuntungan kumpulan itu.

32 dibaca
Berita Harian X