Khamis, 19 Januari 2017 | 3:12pm

Reza Rahadian bakal muncul dengan filem biopik lagi


REZA Rahadian kembali menjayakan watak Tony dalam Halfworlds musim kedua. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian, 29, terus menjadi pilihan pengarah dan produser bagi menjayakan filem bercorak biografi atau biopik.

Selepas menjayakan watak presiden ketiga negara itu, Bacharuddin Jusuf Habibie menerusi filem Habibie & Ainun pada 2012, beliau sekali lagi memainkan karakter pemimpin terbabit dalam kisah susulannya, Rudy Habibie (2016).

Reza juga pernah membawakan watak Aziz dalam filem adaptasi novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, karya penulis terkenal Indonesia, Allahyarham Profesor Hamka.

Berkongsi cerita berkenaan bersama BH Online ketika ditemui di Bangkok baru-baru ini, bagi mempromosikan siri siaran HBO, Halfworlds musim kedua, beliau bagaimanapun tidak dapat bercerita lebih lanjut mengenai filem terbaharunya itu.

Justeru, watak ikonik mana pula yang bakal dilakonkan olehnya terus menjadi tanda-tanya.

"Oh ya saya memang teruja untuk filem biopik terbaharu ini dan sangat berbesar hati untuk turut serta menjayakannya. Bagaimanapun, saya belum boleh mendedahkan secara terperinci butiran mengenainya," kata Reza.

Pelakon kelahiran Bogor yang mula terbabit dengan lakonan pada 2004 itu mengaku, dirinya cukup terharu apabila terus mendapat kepercayaan pembikin filem bagi membintangi naskhah dalam genre sedemikian.

Sememangnya pelakon ini antara bintang papan teratas di negara terbabit, apatah lagi sudah tiga kali dirinya menggenggam Piala Citra pada Festival Filem Indonesia (FFI). Malah, beliau kini turut melebarkan sayap lakonannya di Malaysia, Brunei dan Thailand.

Mengenai lakonannya sebagai Tony dalam musim kedua Halfworlds, Reza menjelaskan, beliau tidak teragak-agak apabila dihulurkan tawaran untuk terbabit sama dalam karya terbitan HBO Asia itu.

"Memang sudah agak lama saya tidak berlakon siri drama TV. Lalu, ketika menerima tawaran berlakon musim pertama dan kedua bagi produksi HBO ini, saya terus mengkaji karakter yang akan dipersembahkan.

"Watak Tony memang cukup menarik dan belum pernah saya lakonkan selama bergelar anak seni. Ia turut menuntut saya berlakon aksi. Nuansa Halfworlds juga sangat berbeza dengan naskhah pernah saya jayakan selama ini. Ia sebuah persembahan campuran antara misteri, fantasi, seram dan aksi. Ia boleh dianggap pengalaman baharu untuk saya," katanya.

Penggambaran musim kedua siri berkenaan diadakan selama hampir tiga bulan pada September tahun lalu di beberapa lokasi di Thailand dan Indonesia.

Halfworlds musim kedua disiarkan di seluruh Asia secara eksklusif menerusi HBO bermula Ahad ini. Bagi tayangan perdananya, sebanyak dua episod siri terbabit ditayangkan secara berturut-turut. Ia juga siri pertama oleh HBO Asia yang kembali untuk musim kedua. Ia disiarkan jam 9 malam, di HBO (Astro saluran 411/431)

19 dibaca
Berita Harian X