Khamis, 19 Januari 2017 | 12:10pm

Penolong jurutera kanan direman 7 hari

ALOR SETAR: Penolong jurutera kanan sebuah agensi kerajaan yang ditahan kerana disyaki rasuah dan salah guna kuasa semalam, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias, membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 56 tahun itu sehingga 25 Januari ini.

Ia bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


Pegawai Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang lelaki yang bertugas sebagai penolong jurutera kanan untuk mendapat perintah reman di mahkamah Alor Setar kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan meminta rasuah daripada beberapa orang kontraktor sebagai dorongan untuk memastikan kontraktor berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan di Daerah Sik. - Foto NSTP/Amran Hamid

BH hari ini melaporkan, SPRM menahan seorang penolong jurutera kanan awam yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan meminta rasuah di kediamannya di Kampung Sungai Daun di sini, pagi semalam.

Suspek ditahan pada jam 11.30 pagi susulan siasatan awal yang membawa kepada kesalahan membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh kontraktor sudah diambil keterangan.

21 dibaca
Berita Harian X