Khamis, 19 Januari 2017 | 11:54am

Lembaga pengarah baharu FIC diumum awal Februari


GAMBAR fail, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kiri) ketika sidang media di Menara Felda, kelmarin. - Foto BERNAMA

JERANTUT: Barisan baharu lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dijangka diumum awal bulan depan, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan serta menteri yang bertanggungjawab sebelum mengumumkan anggota lembaga pengarah baharu itu.

"Meletak jawatan bukan bermakna mereka tidak boleh datang balik... (Pengarah FIC) Datuk Hanapi Suhada pun letak jawatan," katanya kepada pemberita semalam.

Shahrir yang mengulas tindakannya meminta semua anggota lembaga pengarah FIC meletak jawatan semalam, turut menjelaskan langkah itu bagi memudahkannya menyusun semula anak syarikat Felda tersebut yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

Arahan peletakan jawatan itu adalah langkah pertama Shahrir susulan pengumumannya sebelum ini mengenai rombakan pengurusan yang besar dalam Felda selepas beliau dilantik menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 6 Januari lalu.

Shahrir ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Padang Piol, di sini yang turut dihadiri pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Shahrir berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri yang mempunyai tanah rancangan Felda untuk mempercepatkan pembinaan 8,470 unit PGBF yang disasarkan dalam fasa pertama projek.

Katanya setakat ini sebanyak 104 unit telah dibina Padang Piol dan Sungai Tiang di Pendang, Kedah manakala projek di Jengka 11, Pahang masih berjalan kerana masih tidak dilengkapi infrastruktur seperti jalan dan bekalan air serta elektrik.

"Kita menggunakan modal daripada dana dalaman Felda sendiri dan juga membuat pinjaman bank selain menerima peruntukan RM200 juta daripada kerajaan pusat yang mahu membantu generasi kedua memiliki kediaman sempurna," katanya.

Untuk fasa kedua PGBF yang menyasarkan pembinaan 11,530 unit, Shahrir membayangkan kemungkinan kerjasama Felda dan SPNB serta dua syarikat swasta di bawah skim inisiatif swasta yang masih dalam peringkat rundingan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Shahrir menyampaikan khabar gembira kepada 26 penerima rumah bernilai RM90,000 tersebut apabila mengetepikan bayaran sewa selama tiga bulan.

"Kita mahu mereka masuk ke rumah dengan perasaan yang gembira dengan mengurangkan beban kewangan pada awal perpindahan selain memberi masa kepada mereka untuk mendapatkan pinjaman bank," katanya.

Shahrir juga tidak menolak penawaran harga yang lebih rendah untuk fasa kedua sekiranya kos pembinaan dapat dikurangkan.

Mengenai masalah peneroka Felda Bukit Goh, Kuantan yang berdepan dengan isu perlombongan bauksit, Shahrir berkata beliau akan berjumpa dan berbincang dengan semua yang terlibat termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. - BERNAMA

Berita Harian X