Rabu, 18 Januari 2017 | 10:48pm

Koperasi sekolah perlu ceburi perniagaan impak tinggi


DATUK Abdul Fattah Abdullah berucap pada program khas pembangunan perniagaan koperasi sekolah negeri Pulau Pinang 2017 di Georgetown, hari ini. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Koperasi sekolah perlu menceburi perniagaan berimpak tinggi bagi meningkatkan perolehan dan membawa lebih keuntungan kepada anggotanya, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Katanya, antara bidang yang boleh diceburi koperasi sekolah ialah peruncitan yang menjadi satu perniagaan berimpak tinggi dan mampu membawa keuntungan besar.

Terdapat 500 koperasi sekolah yang terbabit dalam bidang peruncitan dengan empat daripadanya mampu membawa keuntungan lebih daripada RM1 juta setahun, katanya kepada pemberita selepas program khas pembangunan perniagaan koperasi sekolah negeri Pulau Pinang 2017 di sini hari ini.

Pada masa ini terdapat 2,349 koperasi sekolah di seluruh negara yang secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan pertumbuhan apabila mencatat keuntungan sebanyak RM311 juta pada tahun 2013; RM321 juta pada tahun 2014; dan RM338 juta pada tahun 2015.

Katanya, Angkasa berharap pada tahun 2020 keuntungan keseluruhan koperasi sekolah di negara ini dapat ditingkatkan kepada RM500 juta dan menyasar lebih 50 koperasi sekolah berpotensi untuk memperoleh keuntungan melebihi RM1 juta setahun.

Sementara itu, Abdul Fattah turut menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menggalakkan pelajar sekolah agar lebih aktif dalam koperasi sekolah kerana selain mendapat pulangan keuntungan, ia juga adalah satu platform bagi mempelajari integriti dan kemahiran keusahawanan yang boleh membantu perkembangan pelajar.

"Dengan adanya koperasi sekolah, pelajar akan dapat mempelajari budaya dan strategi keusahawanan seperti perolehan modal, peluang perniagaan strategik dan bagaimana memperoleh keuntungan.

"Ibu bapa juga harus lebih menggalakkan anak-anak mereka membeli keperluan sekolah seperti buku dan alat tulis di kedai koperasi sekolah serta mendorong mereka melabur dalam saham koperasi sekolah mereka," katanya. - Bernama

50 dibaca
Berita Harian X