Rabu, 18 Januari 2017 | 9:37pm
DIANA Amir bersama suaminya, Mohd Habibbullah.

Anak sulung cemburu Diana susukan adik


Isyariana Che Azmi. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Diana Amir, mengakui anak sulungnya, Khawlah Al Azwar yang kini berusia setahun 10 bulan cemburu apabila melihat beliau menyusukan puteri keduanya, Khadijah Azzehra.

Diana, 30, berkata, ekoran itu, setiap kali menyusukan Khadijah yang baru saja dilahirkan 4 Januari lalu, beliau akan sedikit kelam kabut dengan anak-anaknya apabila masing-masing inginkan perhatian.

"Kelam-kabut juga apabila kedua-duanya mahukan perhatian. Biasalah, yang kakaknya pun belum masuk dua tahun dan masih minum susu badan.

"Mujur adiknya mengalah. Saya menggunakan botol susu untuk dia sementara menunggu kakaknya bercerai susu badan tidak lama lagi," katanya yang dihubungi BH Online petang tadi.

Bagaimanapun kata bintang 7 Petala Cinta itu, beliau gembira apabila Khawlah dilihat begitu menyayangi adiknya dan tidak kekok melayani si kecil.

"Khawlah hanya merajuk pada hari pertama ketika saya sibuk mahu bersalin kerana dia diletakkan di rumah ibu mentua. Mujurlah dia merajuk sekejap saja.

"Risau juga jika ada rasa cemburu yang berlebihan terhadap Khadijah. Tetapi sebaliknya pula berlaku apabila dia rajin melayani adiknya. Dia pandai memujuk Khadijah jika si kecil menangis. Keadaan itu tentulah membuatkan saya lega," tuturnya yang akan berehat selama dua bulan sebelum kembali aktif di bidang seni.

Diana atau nama penuhnya Nurdiyana Amir Hashim, mendirikan rumah tangga dengan Mohd Habibbullah A Rahman pada 25 Oktober 2013.

Berita Harian X