Rabu, 18 Januari 2017 | 7:08pm

SPRM tahan penolong jurutera kanan


TIGA lelaki yang ditahan di bawah POCA berhubung penipuan pindah milik tanah diiringi polis dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong jurutera kanan awam yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan meminta rasuah di kediamannya di Kampung Sungai Daun di sini, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek berusia 56 tahun itu ditahan pada jam 11.30 pagi selepas dipercayai melakukan kesalahan terbabit membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Katanya, pihaknya juga merakamkan percakapan seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh orang kontraktor.

"Kami percaya suspek melakukan kesalahan terbabit sejak 2012 dan siasatan kini tertumpu kepada beberapa kontraktor kroni dan mengenal pasti jumlah sebenar wang suapan yang diterimanya sejak memegang jawatan itu empat tahun lalu.

"Sekiranya kontraktor terbabit tidak mahu membayar wang rasuah, suspek akan menyenaraihitamkan mereka. Suspek akan meminta rasuah menerusi aplikasi WhatApps dari syarikat yang dilantik menerusi permohonan sebut harga," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh kontraktor yang ada kepentingan bernilai RM650,000.

"Kami juga menyita fail yang ada kaitan dengan projek kerja naik taraf jalan di daerah Sik pada 2016. Suspek ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek dijangka akan direman di Mahkamah Alor Setar di sini, esok.

Berita Harian X