Rabu, 18 Januari 2017 | 4:19pm

26 terima surat tawaran PGBF


PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bersama sebahagian 26 generasi kedua Felda Padang Piol yang menerima surat tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF). - Foto Muhd Asyraf Sawal

JERANTUT: Seramai 26 generasi kedua Felda Padang Piol dekat sini, menerima surat tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) masing-masing daripada Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, hari ini.

Projek berkenaan adalah fasa pertama PGBF, merangkumi pembinaan 8,470 unit di seluruh negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012.

Shahrir berkata, projek itu juga adalah antara usaha Felda menyediakan kediaman lebih selesa kepada peneroka dan generasi kedua yang terus berbakti kepada Felda.

"Bagi fasa pertama ini, kita pecahkan kepada projek perintis membabitkan tujuh lokasi dengan jumlah keseluruhan 2,144 unit. Baki 6,326 unit lagi akan dibangunkan di 26 lokasi lain (terpilih) berdasarkan permintaan dan kesesuaian.

"Harga ditawarkan juga sangat berpatutan... dengan harga permulaan RM90,000 dan kita cuba untuk menawarkan rumah pada harga lebih rendah kepada mereka (generasi kedua)," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran PGBF berkenaan.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Berita Harian X