Rabu, 18 Januari 2017 | 1:24pm

30 setinggan diroboh, penduduk ingkar arahan


ANGGOTA penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakukan tugas perobohan ketika Operasi Bersepadu Perobohan Rumah dan Struktur Haram dijalankan di Jalan Pinggir 1, Bukit Bendera, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sebanyak 30 setinggan di dua penempatan berasingan di Jalan Pinggir Satu dan Pinggir Dua, dekat sini, dirobohkan dalam Operasi Bersepadu Perobohan Rumah dan Struktur Haram, hari ini.

Operasi bermula jam 9 pagi tadi dilaksanakan selepas lebih 50 penduduk di dua penempatan terbabit enggan berpindah walaupun notis arahan mengosongkan kawasan berkenaan dikeluarkan pada 17 Februari dan notis perobohan pada April, tahun lalu.

Pembantu Penguatkuasa, Jabatan Penguatkuasaan DBKK, Mohd Romzi Musa, berkata pihak berkuasa terpaksa merobohkan semua struktur haram di dua penempatan itu kerana tanah berkenaan milik kerajaan.

Beliau berkata, sebahagian besar penduduk di penempatan itu adalah warga tempatan berasal dari Kudat serta Kota Marudu.

"Penduduk di dua penempatan itu bekerja di sekitar bandar raya ini, namun disebabkan tidak mempunyai tempat tinggal, mereka membina rumah di tanah berkenaan.

"Perobohan setinggan dan struktur haram di Jalan Pinggir Satu dan Pinggir Dua itu adalah lokasi operasi kedua bagi tahun ini selepas operasi sama dilaksanakan di Kampung Numbak, Sepanggar," katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Seramai 25 anggota daripada beberapa agensi seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Air Negeri Sabah, polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terbabit dalam operasi perobohan itu.

Mohd Romzi berkata, DBKK akan melakukan lebih banyak operasi perobohan tahun ini bagi memastikan tidak ada lagi rumah mahupun struktur haram didirikan di kawasan bandar raya ini.

"Kita menasihatkan penduduk yang sudah menerima notis amaran supaya mencari kediaman lain yang tidak didirikan secara haram bagi mengelak perkara sama berulang," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X