Rabu, 18 Januari 2017 | 12:47pm
DUCATI Monster lebih mesra pengguna. - Foto Adi Safri

Raksasa Merah


KEPUASAN maksimum tunggangan. - Foto Adi Safri

PADA 1992, Ducati mendedahkan prototaip motosikal 'naked' dikenali sebagai Monster, yang mana mengagumkan pengunjung dan wakil media pada Pameran Motosikal Antarabangsa Cologne ketika itu.

Pada awalnya, pengenalan Monster adalah percubaan Ducati memasuk pasaran motosikal 'cruiser'. Idea asalnya adalah mencipta sesuatu yang dapat mengekalkan warisan Ducati, senang ditunggang dan diubahsuai.

Sehingga kini ia menjadi antara model ikonik dalam arena permotoran global. Pereka Monster, Miguel Galluzzi berkata, falsafah di sebalik penciptaannya: "Apa yang anda perlukan adalah: tempat duduk, tangki, dua roda dan hendal."

Barisan model Monster antaranya setakat ini adalah M900 (1993); M600 (1994); M750 (1996); M900 (2000); S4 (2001); S2R 800 (2005); S2R 1000 (2005); Monster 696 (2007); Monster 1100 (2007) dan Monster 796 (2010).

Setakat Januari 2014, keluarga Ducati Monster merangkumi 695, 696, 796, 1200 dan 1200 S. Model 796 kemudiannya digantikan dengan 821 pada pertengahan 2014, yang menggunakan komponen elektronik sama dengan dengan Monster 1200.

BH Auto diberi peluang menunggang uji Monster 821 sumbangan Ducati Malaysia, pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia pada minggu lalu.


PENUNGGANG menikmati tork yang padu iaitu 9.1 kilogram per kubik meter. - Foto Adi Safri

Sekilas pandang, model naked yang diperkenalkan pada 2014 ini menggabungkan aspek minimalis dan prestasi yang menjadi DNA sejak Monster masih menjadi model konsep.

Penulis menguji model ini pada laluan lazim iaitu dari Batu Caves - Ulu Yam - Awana Genting, sebelum ke 'port' santai penunggang, Lemang Tok Ki di Raub dan kembali semula ke ibu kota.

Boleh dikatakan, hanya dengan sekali tunggangan, penulis dengan segera menjiwai dan menghayati Monster 821, justeru dapat disimpulkan, ia amat sesuai sebagai model permulaan bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Tempat duduknya selesa dan boleh dilaras ketinggiannya. Monster 821 turut memasukkan sistem kawalan cengkaman (TC) lapan tahap, ABS tiga peringkat dan tiga tahap Ride-by-Wire ke dalam tiga mod tunggangan yang mesra penunggang.

Dipacu enjin silinder berkembar Testastretta 11° 821 cc, Monster 821 melampiaskan kuasa 112 hp, justeru membolehkan prestasinya dirasai dan dihayati. Ia juga amat responsif dan mudah dikawal, selain daripada amat senang mencelah kesesakan jalan raya.

Setiap kali pendikit dipulas penunggang menikmati tork yang padu iaitu 9.1 kilogram per kubik meter (kgm). Disepadukan dengan kerangkanya, enjin Monster 821 menghantar 85 peratus output maksimum pada rpm 5,500 rpm, sekali gus memastikan prestasinya lancar dan pemacuan padu dalam semua tahap gear. Penulis memecut sehingga 220 kilometer sejam (km/h) di lebuh raya lurus dan terasa pendikitnya masih berbaki.

Letusan ekzosnya juga unik, jika ia kedengaran dari kejauhan, anda pasti mengenali apa yang bakal muncul di hadapan anda. Ia adalah raksasa merah.

Kesimpulannya, Monster 821 adalah motosikal berkuasa tinggi yang lebih daripada mencukupi untuk dihayati, mudah dikawal, senang ditunggang dan kelajuannya juga sangat menyeronokkan.


DIPACU enjin silinder berkembar Testastretta 11° 821 cc. - Foto Adi Safri

INFO: Ducati Monster 821

Enjin: Testastretta 11 L-Twin, penyejukan cecair, 821cc

Kuasa: 82.4 kW (112 hp) @ rpm 9,250

Tork: 89.4 Nm (65.8 lb-ft) @ rpm 7,750

Kotak gear: 6 kelajuan

Suspensi hadapan: Fork terbalik 43mm

Suspensi belakang: Monoshock boleh laras

Brek hadapan: Brembo M4-32 angkup, 4-piston, semi-cakera terapung dengan ABS

Brek belakang: Cakera 245 mm, 2-piston angkup terapung dengan ABS

Berat kering: 179.5 kg

Kapasiti tangki: 17.5 liter

Jaminan: 24 bulan tanpa had batuan

Servis: Setiap 15.000km atau 12 bulan

Pemeriksaan cucian valve: setiap 30,000 km

Harga: RM79,999

Tawaran menarik: RM69,000 bagi model keluaran 2016

27 dibaca
Berita Harian X