Rabu, 18 Januari 2017 | 12:00am

Hidayah di Colombia


PEMANDANGAN di bandar raya Bogota.

WALAUPUN Colombia cukup terkenal sebagai negara yang diulit penjenayah narkotik dengan kewujudan kartel dadah yang besar sehingga memburukkan keadaan negara Amerika Selatan itu, namun masih ada warga Muslim yang berusaha menunaikan tanggungjawab ibadah, muamalat serta usaha dakwah.

Islam mula bertapak di Colombia pada akhir abad ke-19 dengan kedatangan imigran dari negara Asia Barat disusuli imigran Asia Selatan. Kini lebih ramai masyarakat tempatan berminat mendalami agama Islam hingga melahirkan komuniti Muslim yang menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa pengantar.

Tiga perkara mendorong keadaan itu iaitu konflik di negara Asia Barat, kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan penghijrahan warga Palestin selepas perang dunia kedua dan tertubuhnya negara Israel pada 1948 serta warga Lubnan sekitar 1960-an.

Mereka berhijrah disebabkan peperangan terjadi di Asia Barat dan ingin mencari kehidupan yang lebih baik lagi. Kebanyakan imigran Muslim generasi pertama lebih taat mengamalkan Islam berbanding generasi kedua dan ketiga. Muslim generasi pertama masih boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab.

Tulisan Diego Castellanos berjudul Islam in Colombia: Between Assimilation and Exclusion, menjelaskan kehidupan Muslim di Colombia sangat kompleks kerana budaya masyarakat tempatan masih kuat dan menolak asimilasi dengan masyarakat Islam.

Mercu tanda Islam

Bagaimanapun, terdapat beberapa organisasi Islam di negara itu termasuk pusat Islam di San Andres, Bogota, Guajira, Narino, dan Santa Marta. Wujud juga sekolah rendah dan sekolah menengah agama di Bogota dan Maicao.

Maicao mempunyai masjid ketiga terbesar di benua Amerika Selatan, iaitu Masjid Omar Ibn Al-Khattab. Pentadbiran masjid di Colombia kebanyakannya diuruskan oleh warga imigran Arab dari Syria, Lubnan dan Palestin.

Pertambahan jumlah warga Muslim Colombia menimbulkan pelbagai reaksi sejak beberapa tahun lalu dan walaupun terdengar suara kecaman daripada pihak tertentu, namun ia tidak menjejaskan bilangan yang kian tertarik kepada Islam dan menganut agama suci ini.

Menurut kertas kerja oleh penyelidik di Florida International University, Diego Castellanos, orang Islam yang mula-mula tiba ke Colombia adalah imigran Arab yang meloloskan diri daripada ketegangan politik Empayar Othmaniah pada akhir abad ke-19.

Sejak itu komuniti Muslim menyusuri fasa pertumbuhan dengan kedatangan lebih ramai umat Islam dari pelbagai negara pada tahun 1960 dan 70an, menjadikan Colombia terutama di sepanjang pesisir pantai Caribbean jelas tampak pengaruh Arab serta budaya kehidupan warga setempat.

Mula secara perlahan

Masjid Abou Bakr al-Siddiq di Bogota dan Masjid Omar al-Khattab di Maicao yang dibina lebih dua dekad lalu di bandar raya utara di Maicao adalah bukti kepada perkembangan pesat Islam yang terus diterima masyarakat di negara berkenaan.

Menurut Castellanos, minat warga tempatan untuk mengenali, memahami serta mendalami Islam bermula secara perlahan pada 1980-an tetapi semakin bersemarak di akhir 1990-an. Statistik menunjukkan peningkatan rakyat Colombia memeluk Islam.

Berdasarkan maklumat, antara sebab mereka tertarik untuk memeluk Islam kerana Islam menawarkan jalan terbaik ke arah pencerahan kerohanian serta gaya hidup sihat yang berbeza daripada ajaran agama Kristian Colombia tradisional.

Kemasukan orang Colombia kepada Islam dengan angka yang agak ramai seolah-olah seperti cerita dongeng, tetapi itulah hakikatnya kerana walaupun kebanyakan usaha dakwah lebih menjurus kepada masyarakat Islam, ramai bukan Islam yang tertarik kepada Islam dan mengucapkan syahadah.

Sikap toleransi tarik minat bukan Islam

Berbeza orang kulit putih Amerika Syarikat (AS) yang skeptikal terhadap orang Islam akibat mainan politik sesetengah pihak yang menguar-uarkan Islam sebagai agama teroris, masyarakat Colombia seolah-olah tidak ambil pusing dengan pengaruh media AS yang cuba memperlekehkan orang Islam.

Sejarah hitam hubungan AS dengan Colombia juga antara penyebab warga Colombia tidak berapa gemarkan pengaruh AS. Apa juga yang didakyahkan AS, ditolak mentah-mentah. Kemarahan mereka masih belum reda akibat tindakan dikatakan sengaja dimainkan ketika menghalalkan penangkapan Pablo Escobar.

Walaupun Pablo Escobar, raja kartel dadah Colombia dibenci oleh pihak kerajaan Colombia apatah lagi pentadbiran AS, sumbangan bakti bak gelagat Robin Hood ketika hayatnya telah menyebabkan orang miskin pedalaman Colombia mencintainya.

Rombongan Malaysia turut menjalankan usaha dakwah di bandar raya di mana Escobar terbunuh, iaitu di Medellin, wilayah terpencil yang bakal dihujani pelaburan dan pembangunan.

Cari sendiri

Menurut Colombia Report yang membuat liputan mengenai masyarakat Islam di negara itu, mereka amat menghormati dan bertoleransi terhadap budaya masyarakat lain. Mereka tidak berniat mengubah, apa lagi mempengaruhi penduduk tempatan memeluk Islam.

Memetik kata-kata Imam Masjid Medellin (Pusat Islam Medelline), Ahmed Dasuki, dalam wawancara oleh Colombia Report, mereka yang berminat kepada Islam mencari sendiri agama sehingga hidayah mempertemukan mereka dengan Islam.

"Jika ada yang ingin memeluk Islam, itu baik, Jika anda tidak ingin, pun itu tidak mengapa. Masjid ini mengalu-alu kunjungan siapa juga yang ingin bertandang banyak kali pun tidak menjadi persoalan.

Kita boleh menunjuk ajar tradisi Islam kepada orang yang berminat mempelajarinya," katanya.

Islam diasaskan dengan dialog, tanpa paksaan dan saling menghormati. Menurut Dasuki, sungguhpun meminum arak itu dilarang kepada komuniti Islam, namun Muslim tidak seharusnya menghalang warga bukan Muslim untuk meminumnya.

Secara lumrahnya, agak susah menjalani kehidupan seharian secara Islam di tengah-tengah masyarakat yang kebanyakannya Kristian, terutama dalam mendidik anak. Jurang perbezaan antara golongan muda dan tua memang ketara kerana warga muda mudah dipengaruhi gejala songsang.

Menurut Dasuki, tidak dinafikan sukar untuk mengawal kehidupan apabila sentiasa berdepan dengan kehidupan masyarakat yang bebas, kewujudan kelab hiburan, tingkah laku tidak bermoral dan 'cinta percuma' yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Pengakuan daripada saudara baharu, Saidah Paola Duque Correa, yang dilahirkan di Bucaramanga tetapi sebahagian besar umurnya beliau tinggal di Valledupar, beliau adalah penganut Kristian, tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran agama itu.

Belajar di internet

Menurut pelajar Universidad de Santander (UDES -Colombia) yang mengambil bidang bakteriologi itu, beliau mula berjinak-jinak mempelajari Islam pada 2004 kerana ingin mempelajari budaya Arab, bersua dengan orang Arab dan mendalami khat atau kaligrafi Arab.

"Namun minat saya bertukar kepada lebih spiritual dan tidak semena-mena saya berkenalan rapat dengan Islam menerusi internet. Satu hari pada tahun 2004, saya menghantar mesej di laman Islam menyatakan kecenderungan untuk mempelajari Islam.

"Selang beberapa hari, saya menerima e-mel yang bertanya: Adakah anda berminat memperoleh buku mengenai Islam dalam bahasa Sepanyol oleh seorang bernama Mostafa Mohye Mossad dari Mesir. Saya agak teruja, namun berasa curiga juga kerana tidak lazim orang menawarkan buku dengan percuma," katanya.

Selepas dua bulan, beliau menerima buku mengenai Islam dan mula mempelajari Islam daripada Mohye. Hanya pada Ramadan 2007 bersama seorang teman, Aisha, mereka mengisytiharkan keislaman di Masjid Maicao.

"Selepas itu, saya menelefon ayah memberitahu perkara itu dan beliau menyambutnya dengan mengucapkan tahniah.

Cuma ibu saya sedikit bingung dan saya berdoa mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT," katanya.

INFO

  • Pada tahun 70-an, penghijrahan orang Lubnan ke Colombia menjadikan mereka komuniti Islam yang besar pada ketika itu dan melihat penubuhan institusi Islam di Bogota, Maicao dan Buenaventura. Kini kehadiran Islam lebih terlihat apabila terdapat masyarakat Islam di hampir setiap bandar penting di Colombia.

  • Sepanjang proses perkembangan Islam berlaku, masyarakat tempatan melalui perubahan dalam komposisi dengan kehadiran pendatang Muslim dari pelbagai negara (Asia, Afrika dan Eropah) selepas kumpulan dominan dari negara Arab. Walaupun masih dalam kategori minoriti, penambahan jumlah orang Islam ibarat fenomena.

  • Masyarakat Islam semakin dapat menyesuaikan diri dengan warga tempatan dan tuntutan negara. Malah, mereka bersedia untuk hidup bermasyarakat dengan mengamalkan sikap toleransi serta pembabitan dalam aktiviti antara agama. Islam telah memperkayakan kehidupan beragama Colombia yang sememangnya sudah agak kompleks.
Berita Harian X