Selasa, 17 Januari 2017 | 9:57pm

Video muzik lagu Anuar hendak dijadikan drama


ANUAR Zain. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Anuar Zain masih mempertimbangkan tawaran daripada beberapa syarikat produksi yang mahu menjadikan video muzik single baharunya, Andainya Takdir, sebagai drama.

Katanya, sebaik saja video muzik yang mempunyai plot kisah keluarga itu dipertontonkan menerusi YouTube, Disember tahun lalu, pihaknya menerima maklum balas memberangsangkan termasuk daripada penerbit drama.

"Klip video Andainya Takdir direalisasikan antara matlamatnya adalah mempromosikan album yang dihasilkan selepas lima tahun tanpa produk baharu.

"Kronologi kisahnya memang menyentuh kalbu dan tentu saja saya terkejut apabila bukan hanya peminat yang tertunggu-tunggu sambungan klip berkenaan, malah ada pihak yang berminat untuk mengangkatnya ke kaca TV.

"Apapun, segala-galanya masih awal untuk diperkatakan kerana kini Anuar Zain Network Sdn Bhd tampil pula dengan klip kedua, Cinta Takkan Berakhir," katanya mengenai video muzik itu yang mendapat sentuhan pengarah drama popular, Amor Rizan.

Penghibur berusia 46 tahun itu berkata demikian pada sidang media promosi bergerak album Anuar Zain 2017 dan pelancaran video muzik Cinta Takkan Berakhir di sini hari ini.

Selain dua single terbabit, album yang diberi judul Anuar Zain itu turut memuatkan enam dendangan lain iaitu Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Kembali Padamu Ilahi, Selamat Malam dan Hujan.

Diminta mengulas kemungkinan dirinya bakal kembali berlakon selepas filem Bintang Hati pada 2004, katanya, ia bergantung kepada keadaan dan keperluan.

"Jiwa saya bukan pada lakonan, tetapi untuk klip video sendiri, saya tiada masalah melakukannya. Cuma, andai ada pihak mahu saya berlakon selepas membuat percubaan dalam filem Soal Hati disusuli Bintang Hati, nampaknya ia perlu difikirkan secara mendalam," ulasnya lagi.

Sementara itu, persediaan penyanyi berkenaan kini terarah kepada Konsert Anuar Zain & You yang bakal berlangsung di Panggung Anniversari, Sabtu ini.

"Sudah pasti saya tidak sabar untuk bertemu peminat, apatah lagi konsert ini umpama mengimbas semula kegemilangan panggung yang suatu ketika dulu menjadi lokasi persembahan mega ramai nama besar," katanya.

Berita Harian X