Selasa, 16 Disember 2014 | 5:01pm

Thierry Henry bersara selepas 20 tahun


Theirry Henry (kiri) memilih kerjaya baharu sebagai penganalisis sukan di stesen televisyen Sky Sports. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (kanan) pula beranggapan Henry pasti akan kembali ke kelab itu tapi dalam bidang yang berbeza pada masa depan.

PARIS: Penyerang Perancis, Thierry Henry mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional selepas dua dekad dalam arena itu dan menukar kerjaya sebagai penganalisis sukan di stesen televisyen Sky Sports di England.

"Selepas 20 tahun dalam sukan ini, saya memutuskan untuk bersara daripada bola sepak profesional," katanya dalam satu kenyataan menerusi posting Facebook.

Henry, 37, pernah membantu Perancis meraih kejuaraan Piala Dunia dan Eropah serta penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris ketika bersama Arsenal.

"Tiba masanya saya beralih ke bidang kerjaya berlainan dan saya gembira untuk memberitahu bahasa saya akan kembali semula ke London dan menyertai Sky Sports," katanya.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger baru-baru ini berkata, Henry pasti akan kembali ke kelab itu namun dalam bidang yang berbeza pada masa depan.

Henry sendiri memberitahu L'Equipe beberapa minggu lalu bahawa dia mahu membantu Arsenal memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara.

Henry melangkah ke dunia bola sepak profesional dengan menyerti Monaco sebelum berhijrah ke kelab gergasi Itali, Juventus.

Namun, kebanyakan tempoh kerjayanya adalah bersama Arsenal dan dia juga beraksi untuk Barcelona.

Beliau menamatkan kerjayanya di Amerika Syarikat dengan beraksi untuk New York Red Bulls di MLS namun kelabnya terkeluar daripada saingan musim di peringkat separuh akhir. - AFP

24 dibaca
Berita Harian X