Selasa, 17 Januari 2017 | 2:32pm

Ops Selamat, Bersepadu serentak mulai 21 Februari


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai . - Foto Farizul Hafiz Awang

KUALA LUMPUR: Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan, Ops Selamat dan Ops Bersepadu akan dijalankan serentak sempena Tahun Baharu Cina mulai 21 Januari hingga 5 Februari ini.

Ops Selamat yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi tumpuan kepada advokasi serta penguatkuasaan undang-undang melalui konsep ronda dan statik di kawasan kerap berlaku kemalangan.

Bagi Ops Bersepadu yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan pemeriksaan ujian air kencing terhadap pemandu bas di 30 terminal.

Pada masa sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihak polis juga akan melakukan pemantauan udara bersama Pasukan Gerakan Udara PDRM bagi membantu mengawal trafik sepanjang Ops Selamat.

Katanya, penguatkuasaan yang dijalankan itu adalah untuk meningkatkan persepsi ditangkap (POBC) di kalangan pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kematian.

"Antara program yang turut dirangka ialah pemeriksaan bas di depoh dan terminal; penyamaran sebagai penumpang bas; rondaan di lebuh raya dan jalan utama; penguatkuasaan Ops Motosikal Khas; Program Advokasi serta kempen Keselamatan Media Sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan sempena Tahun Baharu Cina 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim serta Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Ariffin Che Mat.

Kempen bertemakan 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' itu dilaksanakan di seluruh JKJR negeri dengan kerjasama pelbagai kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Berita Harian X