Selasa, 17 Januari 2017 | 1:34pm
GAMBAR fail, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada pesakit Leukimia, Muhammad Ramadan Alias, 20, di rumahnya di Kampung Beril Paka pada 8 Januari lalu. - Foto Rosli Ilham

'Doakan saya'

MUHAMMAD Ramadan dan ibunya Saibah Yaacub, yang mendapat tajaan mengerjakan Umrah berkemas sebelum berangkat ke Tanah Suci di rumahnya, Selasa lalu.- Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Dengan jangka hayat diramal hanya berbaki empat bulan, seorang pesakit leukemia tahap empat sukar menyembunyikan kegembiraan apabila hajat menjejakkan kaki ke Tanah Suci semakin hampir menjadi nyata.

Petang ini, Muhammad Ramadan Alias, 20, dari Kampung Beril, Paka di sini, akan berangkat ke Kuala Lumpur bersama ibunya, Saibah Yaacub, 57, sebelum menaiki penerbangan MH1335 ke Madinah, jam 1 tengah hari esok.

Sebelum ini, penderitaan Muhammad Ramadan dan hasratnya menunaikan umrah disiarkan akhbar BH hingga sampai ke pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pertemuan antara mereka membawa kepada persetujuan kerajaan Terengganu membiayai pakej perjalanan dua beranak itu manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) membiayai perbelanjaan sepanjang di Tanah Suci.

Sejak petang semalam, kediaman dua beranak itu bertali-arus dikunjungi sanak saudara dan jiran serta rakan yang mendoakan kesejahteraan Muhammad Ramadan bersama ibunya sepanjang mengerjakan umrah.

"Perjalanan ini besar ertinya buat saya. Saya harap, rakyat Malaysia mendoakan kesihatan saya dan ibu di sana.

"Insya-Allah, saya akan berdoa untuk semua di sana nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berita Harian X