Selasa, 17 Januari 2017 | 12:22pm

Dana Mekanisasi Sawit tingkatkan produktiviti


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menubuhkan Dana Mekanisasi Sawit dengan dana permulaan RM30 juta bagi memacu aktiviti mekanisasi, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti industri minyak sawit negara.

Dana sumbangan kerajaan dan sektor swasta itu bertujuan membiayai aktiviti penyelidikan mengenai mekanisasi oleh institut penyelidikan dalam dan luar negara, perolehan teknologi bersesuaian untuk kegunaan industri sawit dan pengubahsuaian peralatan serta penganjuran pertandingan atau program berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata dana yang ditadbir urus menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu akan meningkatkan produktiviti bagi setiap pekerja ladang yang dijangka mampu menguruskan 12 hektar ladang sawit, berbanding lapan hektar ketika ini.

Sebagai permulaan, katanya, kerajaan mengharapkan sektor swasta menyumbang RM5 juta untuk dana berkenaan.

Katanya, MPOB melabur dalam pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah menghasilkan peralatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

Antara peralatan mekanisasi yang sudah dihasilkan termasuk Cantas (alat penuaian buah tandan segar bermotor) dan Beluga, Ryhno dan Grabber (mesin pengangkutan buah tandan segar) untuk digunakan di ladang sawit.

"Industri sawit adalah tonggak sektor pertanian dan menyumbang 5.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Hampir 40 peratus daripada tanaman sawit diusahakan oleh pekebun kecil. Industri sawit terutama di sektor huluan adalah berorientasikan buruh terutama bagi aktiviti penuaian dan pembajaan.

"Pada masa ini, industri sawit menggaji 431,357 pekerja dengan 77 peratus atau 332,135 pekerja adalah tenaga kerja asing," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kajian dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2017, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Berita Harian X