Selasa, 17 Januari 2017 | 8:07am

Atlet Kenya sokong inisiatif baharu doping

ELDORET (KENYA): Atlet terkemuka Kenya mengalu-alukan inisiatif baharu bagi mengekang isu doping - masalah yang merosakkan imej mereka - dengan dipantau doktor yang dilantik khas untuk tujuan itu.

Minggu lalu, Persatuan Olahraga Kenya mengumumkan mulai 17 Januari, atlet elit akan dipantau pasukan doktor yang dilantik oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Persatuan Olahraga Kenya.

Kementerian sukan menganjurkan mesyuarat di sini semalam, bagi menjelaskan inisiatif baharu itu kepada atlet terkemuka negara berkenaan.

"Saya gembira dengan inisiatif baharu ini. Ia menunjukkan Persatuan Olahraga Kenya serius menangani isu doping," kata juara maraton lelaki di Sukan Olimpik, Eliud Kipchoge.

"Ia akan memudahkan kami berkomunikasi bersama doktor sebelum mengambil ubat-ubatan apabila diperlukan," kata rakan seangkatan Kipchoge yang juga pemenang pingat emas di Rio, Jemima Sumgong.

Dalam pada itu, Ketua Persatuan Olahraga Kenya, Jackson Tuwei memberi amaran atlet yang gagal mematuhi peraturan, tidak akan dipilih mewakili Kenya pada kejohanan antarabangsa.

"Ia mandatori buat atlet elit melepasi saringan ini. Ia menyakitkan, tegas dan kritikal tetapi kami perlu melakukannya," kata Tuwei.

"Seramai 49 atlet didapati melanggar kod WADA (Agensi Anti Doping Dunia) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini tetapi hanya diberi amaran berdasarkan undang-undang di sini dan kod WADA."

Doktor yang dipilih perlu menyediakan laporan bulanan mengenai atlet dan akan dihantar ke ketua suruhanjaya anti-doping dan perubatan IAAF. - AFP

Berita Harian X