Selasa, 16 Disember 2014 | 2:45pm
PEMAIN Thailand, Adisak Kraisorn (tengah) meledak jaringan di minit akhir perlawanan ketika menentang Harimau Malaya di Singapura yang memastikan pasukannya layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014. - Foto Reuters

Piala AFF: Saya mahu jaringkan gol temu Malaysia - Kraisorn

KUALA LUMPUR: Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn bertekad untuk sekali lagi merobek gawang Malaysia pada perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala, Bangkok, esok.

Meledak gol ketika bertemu Malaysia pada pertemuan peringkat kumpulan di Singapura, Kraisorn begitupun dipaksa menjadi penonton ketika perlawanan separuh akhir kedua menentang Filipina di laman sendiri akibat penggantungan.

Kraisorn digantung kerana memperoleh kad merah pada perlawanan separuh akhir pertama di Manila yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Begitupun, ketiadaan penyerang utama, Kirati Keawsombut akibat kecederaan menyaksikan jurulatih, Kiatisuk Senamuang dijangka kembali mempertaruhkan Kraisorn dan berharap penyerangnya itu sudah belajar daripada kesilapan.

"Kami mahu memberi peluang kepada Adisak untuk bermain di final," kata Kiatusuk dipetik dalam akhbar Bangkok Post. "Dia kini sudah faham kesilapan yang dilakukannya.

"Dia mahu kembali dan bermain dan menunjukkan kepada peminat dia boleh melakukannya. Dia yakin dan tidak sabar untuk beraksi di pentas final."

Kraisorn dalam pada itu mengakui lega rakan sepasukannya berjaya mencatat kemenangan 3-0 ketika bertemu Filipina dan bertekad akan melakukan apa saja untuk membantu Thailand menjulang Piala AFF buat kali keempat.

"Saya menjaringkan gol ketika menentang Malaysia di peringkat kumpulan dan saya mahu melakukannya sekali lagi untuk memberikan keceriaan kepada penyokong Thailand.

"Saya lega rakan sepasukan bermain dengan baik untuk membawa kami ke final. Malaysia adalah satu pasukan terkuat di Asia Tenggara dan saya akan cuba menjaringkan gol untuk membantu pasukan menjulang gelaran."

Berita Harian X