Isnin, 16 Januari 2017 | 9:57pm

Pulau Pinang 'bergegar'

GEORGETOWN: Beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang dilaporkan merasai kesan gegaran gempa bumi berskala 5.6 magnitud yang melanda Sumatera Utara, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 itu, penduduk pangsapuri di Jelutong, Batu Feringghi, Gelugor, Bayan Lepas dan Seberang Jaya terkejut apabila kediaman mereka terasa bergegar.

Suri rumah, Siti Fatimah Abu Backer, 51, berkata dia sedang menyediakan hidangan makan malam apabila berasa lampu dapurnya bergoyang.

"Pada mulanya saya berasa seperti mahu pitam, tetapi apabila suami memaklumkan turut merasai gegaran, baru kami sedar rumah bergoyang sedikit.

"Gegaran cuma berlaku kira-kira 30 saat dan kebanyakan penduduk dapat merasainya menyebabkan ada yang bertindak keluar dari rumah masing-masing," katanya yang menetap di pangsapuri di Jelutong.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Meterologi Pulau Pinang mengesahkan berlaku gempa bumi di Sumatera Utara dengan impaknya turut dirasai di kawasan utara Semenanjung.

Berita Harian X