Isnin, 16 Januari 2017 | 7:04pm

Pembantu tadbir kanan bawa pulang Kia Sportage


Ketua Bahagian Pemasaran Dan Komunikasi Naza KIA Malaysia Sdn Bhd, Mohd Irhash Zamani (tengah) menyampaikan replika cek hadiah utama Peraduan Mudah Menang Harian Metro iaitu sebuah kereta KIA Sportage kepada Mohamad Nadzri Mahmud (kiri) sambil disaksikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (kanan) di Balai Berita NSTP. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Minat membaca akhbar Harian Metro (HM) membawa tuah kepada Pembantu Tadbir Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis, Mohamad Nadzri Mahmud, apabila berjaya membawa pulang kenderaan Kia Sportage.

Beliau memenangi hadiah utama Peraduan Mudah Menang HM Siri 3, yang mengkehendaki peserta membina slogan berdasarkan berita semasa dalam akhbar.

Hadiah disampaikan oleh Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar, pada majlis penyampaian hadiah utama peraduan itu di Balai Berita, di sini, hari ini.

Mohamad Nadzri, 46 berkata beliau sering menyertai peraduan yang dianjurkan pelbagai pihak tetapi belum pernah memenangi hadiah utama kenderaan mewah.

"Usaha saya selama ini berbaloi. Setiap hari, saya dan keluarga akan baca akhbar HM untuk mengetahui isu semasa yang lebih dekat dengan masyarakat," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Mohd Irhash Zamani dan Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Ahmad @ Salim Bachok.

Peraduan siri ketiga itu adalah siri terakhir bagi Peraduan Mudah Menang HM, yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-25 HM pada tahun 2016.

Peraduan berlangsung selama enam minggu itu bermula daripada 24 Oktober sehingga 4 Disember 2016, yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM500,000, termasuk hadiah utama.

Berita Harian X