Isnin, 16 Januari 2017 | 1:43pm

Mati di taman permainan

ANGGOTA Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa mayat lelaki warganegara Nepal ditemui dalam keadaan terbaring selepas dipercayai dibunuh kerana terdapat kesan kelar di leher mangsa semasa dijumpai di Taman Nagasari, Prai, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

BUKIT MERTAJAM: Seorang operator kilang warga Nepal ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman di leher serta perut di taman permainan dekat Lorong Nagasari, Perai di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata mayat ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan, sebelum menghubungi polis kira-kira jam 8 pagi.

Beliau berkata, Pandey Radhe Shyam, 26, dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.

"Identiti mangsa dikenal pasti menerusi pasport yang ditemui di lokasi kejadian dan siasatan mendapati mangsa bekerja di sebuah kilang di Bukit Tengah.

"Motif kejadian masih disiasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis turut memeriksa rumah mangsa selain merakam keterangan daripada rakan sekerjanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X