Isnin, 16 Januari 2017 | 12:22am

KLHC terus rentak cemerlang saingan LHM

KUALA LUMPUR: Juara Piala Sumbangsih, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) meneruskan rentak cemerlang selepas menang 6-1 ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) Thunderbolts pada aksi kedua Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai di sini, malam ini.

KLHC yang masih segar dengan kejayaan mempertahankan Piala Sumbangsih Jumaat lepas, selesa mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan menerusi jaringan pemain adik beradik, Meor Muhamad Azuan Hassan dan Muhamad Azri Hassan, masing-masing pada minit ke-14 serta Muhammad Rashid Baharom pada minit ke-28.

Sebaik saja perlawanan bersambung, KLHC menambah dua lagi jaringan menerusi Dedy Aryadi Jumaidi pada minit ke-39 dan Ahmad Kazamirul Nasruddin (minit ke-52) sebelum Muhammad Akhimullah Anuar Esook mengurangkan defisit jaringan untuk TNB Thunderbolts pada minit ke-60.

Mohd Syamim Mohd Yusof melengkapkan kemenangan bergaya KLHC menerusi jaringan pada minit ke-61.


PEMAIN TNB, Najib Abu Hassan (kanan) disaingi pemain UNIKL, Aqmal Abd Ghaffar pada perlawanan Liga Premier TNB/MHL 2017 di Stadium Hoki KL Pantai. - Foto OSMAN ADNAN

Terdahulu, pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menewaskan TNB 1-0 menerusi jaringan tunggal Faridzul Afiq Mohd pada minit ke-49 dalam satu lagi aksi liga yang berlangsung di venue yang sama.

Maybank pula membenam wakil Johor, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-0 pada aksi di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Melaka.

Juara berganda LHM 2016, Pasukan Hoki Terengganu (THT) berpesta gol selepas menundukkan UiTM-KPT 9-0 pada aksi di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. - BERNAMA

Berita Harian X