Ahad, 15 Januari 2017 | 7:44pm

CIIF lancar kod etika, standard tata laku profesional


PRESIDEN CIIF, Datuk Badlisyah Abdul Ghani.- Foto Business Asia One

KUALA LUMPUR: Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIIF) melancarkan Kod Etika CIIF dan Standard Tata Laku Profesional (CIIF) bersempena dengan sambutan ulang tahun pertamanya.

Presidennya, Datuk Badlisyah Abdul Ghani, berkata prinsip yang digariskan oleh kod itu yang termasuk integriti dan objektiviti adalah setanding dengan kod etika lain yang ditetapkan oleh badan profesional tempatan dan antarabangsa.

"Kod Etika CIIF dan Standard Tata Laku Profesional yang kami lancarkan adalah komponen utama kepada Rangka Kerja Etika CIIF," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kod dan standard itu juga menjadi rujukan utama bagi golongan profesional serta orang awam mengenai prinsip etika dan standard tata laku yang diharapkan daripada pengamal kewangan Islam.

Badlisyah berkata, meskipun kod dan standard itu terikat kepada ahli CIIF, pihak lain yang berminat dengan kewangan Islam dialu-alukan untuk menjadikannya sebagai rujukan mereka.

"Kod dan Standard CIIF melengkapkan garis panduan yang diguna pakai dalam industri kewangan Islam ketika ini. Ia juga memberi penekanan kepada pematuhan terhadap prinsip Syariah, menjadi asas amalan kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, kaitan antara Syariah dan prinsip yang termaktub dalam kod dan standards itu juga menandakan keperluan bagi profesional untuk berperikemanusiaan serta berempati dalam memenuhi tugas dan tanggungjawab mereka.

"Ini memberikan kod dan standard itu dimensi tambahn dan unik berbanding kod dan standard lain sepertinya," katanya.

Badlisyah berkata, ketika ini CIIF sedang mengusahakan Buku Panduan Ahli-Ahli CIIF yang akan menjelaskan lebih lanjut lagi mengenai nilai dan prinsip panduan ini yang akan diperkenalkan lewat tahun ini.

CIIF akan mengadakan taklimat menyeluruh dan sesi latihan mengenai kod dan standard itu, terutama kepada ahlinya dan pemegang kepentingan utama, sepanjang tahun ini, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X