Ahad, 15 Januari 2017 | 7:17pm

Axia berwajah baharu dengan enjin, ciri terkini


PERODUA kini membuka tempahan untuk Perodua Axia berwajah baharu yang dilengkapi enjin VVT-I

RAWANG: PERODUA kini membuka tempahan untuk Perodua Axia berwajah baharu yang dilengkapi enjin VVT-I, berbanding enjin semasa (KR Engine) serta didatangkan dengan ciri yang lebih baik.

Enjin VVT-I akan meningkatkan lagi kecekapan bahan api bagi varian baharu itu dengan penjimatan hingga 22.5 km/l dalam mod pemanduan Eko, berbanding 21.6 km/l (transmisi manual) pada model Axia sedia ada.

Penambahbaikan lain untuk Axia Standard termasuk jeriji depan dan bumper gaya baharu; pemegang pintu belakang; reka bentuk fabrik kerusi baharu serta dilengkapi dengan lampu projektor hadapan, selain sistem audio yang didatangkan dengan slot USB.

Bagi Axia SE dan Advance, penambahbaikan termasuk jeriji depan dan bumper gaya baharu; butang tekan hidup/berhenti; sistem akses pintar dengan kunci pintar dan sistem multimedia dengan 'Smart Link' (untuk android sahaja).

Turut ditambah baik bagi kedua-dua varian berkenaan ialah reka bentuk lampu projektor depan baharu; pemegang pintu luar krom; roda aloi bentuk spiral; pemegang pintu belakang; reka bentuk fabrik kerusi baharu (SE) serta meter kombinasi baharu dengan warna putih.

Dari segi warna, Axia Standard didatangkan dengan Putih Ivory, Perak Glittering, Hitam Ebony dan Biru. Warna Hijau Lemongrass dan Cherry Blossom yang diperkenalkan semasa pelancarannya pada September 2014 lalu telah dihentikan.

Bagi varian SE dan Advance, ia mempunyai dua warna tambahan berbanding Axia Standard-G iaitu Kuning Solid Sunflower dan Merah Metalik Lava.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata dengan tambah nilai yang ada di dalam varian Axia, syarikat tetap memastikan harga yang ditawarkan adalah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia."

"Kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang ke 182 bilik pameran dan jualan Perodua di seluruh negara serta berjumpa dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui mengenai Axia baharu ini," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, Axia adalah model paling laris sejak 2014 dan syarikat percaya bahawa nilai tambah di dalam varian itu akan dapat menarik minat pelanggan.

"Kami menyasarkan jumlah jualan purata bagi Perodua Axia ini adalah sebanyak 6,000 unit sebulan," katanya.

Perodua turut mempelawa pelanggan untuk datang ke 'MYPerodua Nation', karnival terbesar Perodua yang akan diadakan pada hujung minggu ini bermula 20 hingga 22 Januari 2017 di AEON Mall Shah Alam.

INFO
PERODUA Axia

  • Harga di Semenanjung bermula dari RM24,900 bagi Standard-E (manual) dan RM42,900 bagi Advance (automatik)
  • 214,700 unit Axia dijual sejak dilancarkan pada September 2014
  • Kenderaan EEV nombor satu di Malaysia
  • Pada tahun 2016, sebanyak 85,900 unit Axia dijual
  • Sasar jualan purata 6,000 unit sebulan
314 dibaca
Berita Harian X