Ahad, 15 Januari 2017 | 1:33pm

Lelaki edar dadah ditahan


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superitenden Lam Thiam Huat (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Kuantan. - Foto Shahrinnahar Latib

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 11,974 biji pil kuda serta 143.83 gram syabu bernilai RM129,538 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Sultan Ahmad Shah di sini, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superitenden Lam Thiam Huat, berkata suspek pada mulanya ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Polo di sini kira-kira jam 7.45 malam.

"Kita kemudian dipandu arah ke sebuah rumah di Taman Kota Sultan Ahmad Shah sebelum menemui dadah berkenaan yang disorok di dalam rumah.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM7,800, barang kemas bernilai RM6,948 dan sebuah kereta jenis Honda Civic," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mendapat bekalan dadah di Kelantan menerusi seorang warga asing yang diambil negara jiran.

"Kita percaya suspek menjalankan pengedaran dadah secara perseorangan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana mengedar dadah," katanya.

Berita Harian X