Ahad, 15 Januari 2017 | 1:08pm
ANGGOTA bomba giat menjalankan kerja pemadaman api di sebuah kediaman di Taman Abad, Johor Bahru yang terbakar dan nyaris mengorbankan dua kanak-kanak. - Foto Ihsan Bomba

2 budak sendirian di rumah nyaris rentung


ANGGOTA bomba giat menjalankan kerja pemadaman api di sebuah kediaman di Taman Abad, Johor Bahru yang terbakar dan nyaris mengorbankan dua kanak-kanak. - Foto Ihsan Bomba

JOHOR BAHRU: Dua kanak-kanak masing-masing berusia 3 dan 11 tahun nyaris rentung selepas rumah yang mereka diami di Jalan Landak Kawan, Taman Abad di sini, terbakar malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.34 malam tadi.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah bilik rumah teres setingkat di taman berkenaan yang hampir terbakar keseluruhannya.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, dua kanak-kanak berkenaan sudah diselamatkan orang awam yang menyedari berlaku kebakaran di kediaman itu.

"Difahamkan, ketika kejadian dua kanak-kanak berkenaan tinggal bersendirian di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tiga jentera dan 17 anggota balai dikerahkan ke lokasi kejadian dalam kejadian itu.Mengulas lanjut katanya, tiada dokumen ditemui bersama dua kanak-kanak itu, selain punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X