Ahad, 15 Januari 2017 | 2:47am

Modenas perkenal tiga skuter baharu


ELEGAN 250 didatangkan dengan dua warna. - Foto Roslin Mat Tahir

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), melancarkan tiga model skuter baharu pemasangan tempatan (CKD), Karisma 125, Elegan 250 dan KYMCO Downtown 250i.

Harga jualan Karisma 125 ialah RM4,980, Elegan 250 (RM12,830) dan KYMCO Downtown 250i (RM21,500).

Karisma 125 dan Elegan 250 masing-masing ditawarkan di bawah label MODENAS, manakala KYMCO Downtown 250i adalah skuter pertama jenama KYMCO yang diedarkan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Amirudin Abd Kadir, berkata bagi Karisma 125, syarikat menyasarkan untuk menjual 2,000 unit tahun depan.

"Sasaran jualan untuk Elegan 250 dan KYMCO Downtown 250i pula masing-masing ialah 500 unit dan 250 unit," katanya pada sidang media sempena pelancaran model baharu itu di Shah Alam.

Motosikal terbaharu MODENAS dan KYMCO itu dilancarkan oleh Pengerusi DRB-HICOM Bhd, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil.


KYMCO Downtown 250i. - Foto Roslin Mat Tahir

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar; Presiden KYMCO, Chun-Ping Ko; dan Ketua Pegawai Operasi Pengedaran Automotif dan Kejuruteraan DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah.

Generasi baharu Karisma 125 dikuasakan oleh enjin 125cc yang menjana 7.0kW pada 7,500rpm.

Antara ciri utama ditawarkan model ini adalah USB-Port tunggal untuk mengecas peranti, sistem kawalan utama pelbagai guna dan ruang letak barangan yang luas.

Direka untuk memberikan prestasi yang hebat, keselesaan dan juga gaya, Karisma 125 adalah praktikal untuk tunggangan di bandar dan didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu merah terang dan Pearly White.

Sementara itu, Elegan 250 dikuasakan oleh enjin suntikan bahan bakar 250cc, 'Single Overhead Cam' (SOHC) yang menjana 16.5kW pada 7,000rpm.

Skuter yang menggunakan sistem penyejukan cecair untuk prestasi tunggangan lebih baik dan lancar itu ditawarkan dengan dua warna iaitu Matt Black dan Matt White.

KYMCO Downtown 250i pula adalah skuter pertama dilancarkan selepas EMOS mendapat hak pengedaran eksklusif jenama itu di Malaysia.

Modenas turut menawarkan jaminan pengeluar dua tahun atau perbatuan 20,000 kilometer.


KARISMA 125. - Foto Roslin Mat Tahir

INFO:

  • MODENAS Karisma 125 - RM4,980
  • MODENAS Elegan 250 -  RM12,830
  • KYMCO Downtown 250i - RM21,500
Berita Harian X