Selasa, 16 Disember 2014 | 7:31am

Sumbangan sasterawan Cina, India

Bahasa dan sastera Melayu mutakhir ini kurang menerima sumbangan daripada penulis Cina dan India, berbanding beberapa dekad yang lalu. Jumlah mereka yang aktif boleh dibilang dengan jari tangan sahaja. Situasi ini agak membimbangkan, kerana bahasa dan sastera Melayu yang berstatus kebangsaan sepatutnya sentiasa menerima sumbangan daripada pelbagai kaum.

Mujurlah di Sabah dan Sarawak, sastera Melayu terus mendapat sumbangan daripada penulis kreatif dari 'Negeri Di bawah Bayu' dan 'Bumi Kenyalang' itu, termasuk yang datang daripada etnik Iban, Kadazandusun dan sebagainya. Sumbangan mereka meluaskan pemahaman kita terhadap sfera budaya yang pelbagai, termasuk adat serta kepercayaan.

Penulis keturunan Siam di negara kita tidak banyak, kerana jumlah penduduk Siam di Semenanjung pun tidak banyak. Mereka pada asalnya bermukim di negeri utara Semenanjung seperti Kelantan, Kedah dan Perlis. Tetapi dari jumlah yang kecil itu muncul penulis keturunan Siam dari semasa ke semasa. Sampai sekarang terdapat sejumlah penulis keturunan Siam yang berkarya dalam bahasa Melayu.

Sumbangan penulis India

Jumlah penulis keturunan India yang berkarya dalam bahasa Melayu sejak dahulu lagi tidak banyak. Akan tetapi dari semasa ke semasa muncul tulisan daripada golongan ini. Kita pernah mengikuti sumbangan Joseph Selvam, Krishanan Maniam, Saroja Thevi, Uthaya Sankar, Raja Rajeswari dan sebagainya. Kita berharap penulis keturunan India khususnya Tamil akan terus muncul di persada bahasa dan sastera Melayu.

Baru-baru ini sebuah buku tentang sumbangan penulis Cina di Malaysia dan Singapura dalam sastera dan bahasa Melayu dilancarkan. Ia ditulis oleh Goh Hin San, penasihat kandungan program Cina untuk media elektronik di bawah Media Prima Bhd. Buku ini lebih banyak mengimbau sumbangan penulis Cina atau Tionghua dekad lalu di Semenanjung dan Singapura.

Sejak awal abad ke-20 hingga dua tiga dekad lalu, memang terasa adanya sumbangan penulis Tionghua dalam bahasa dan sastera Melayu. Golongan Baba umpamanya, yang menyesuaikan cara hidup mereka dengan budaya penduduk tempatan, ada yang menghasilkan syair dan pantun dalam bahasa Melayu.

Tradisi ini pada asalnya bertapak di Pulau Pinang dan Melaka. Malah, ada individu daripada keturunan Baba ini yang aktif dalam persembahan dondang sayang, lalu menjadi terkenal. Baba Kim Teck telah menjadi ikon dondang sayang hingga ke akhir hayatnya.

Terdapat juga penulis Tionghua atas keperluan memahami bahasa Melayu, menyusun kamus Cina-Melayu yang pada awalnya sangat ringkas. Usaha ini kemudian dikembangkan oleh penyusun kamus yang lebih berpengetahuan dan serius seperti Yang Quee Yee dari Singapura.

Ketinggian tamadun Melayu

Sarjana seperti Liaw Yock Fang terpesona dengan karya agung Melayu. Beliau menyedari ketinggian tamadun Melayu yang menghasilkan karya besar dan malar seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan sejumlah naskhah undang-undang Melayu tradisional. Beliau memahirkan diri dengan tulisan jawi, mendalami filologi, seterusnya membuat kajian ilmiah terhadap beberapa karya agung Melayu.

Dalam bidang kesarjanaan di Malaysia kita menemukan sumbangan Wong Seng Tong. Beliau tidak sahaja menulis tentang kesusasteraan Melayu, malah turut memperkenalkan sastera Mahua iaitu sastera dalam bahasa Tionghua yang ditulis oleh penulis Cina tempatan kepada khalayak berbahasa Melayu.

Beberapa dekad lalu memang agak banyak penulis Cina yang memberi sumbangan dalam bahasa dan sastera Melayu, sama ada sebagai penyusun kamus, sarjana, atau penulis kreatif genre puisi, cerpen dan novel.

Sebahagian daripada mereka menghasilkan karya bermutu tinggi setara dengan penulis nasional yang lain. Mereka ini termasuk Lim Swee Tin dan Jong Chian Lai. Sumbangan mereka yang konsisten dan bermutu melayakkan mereka menerima SEA Write Award iaitu anugerah sastera paling berprestij di peringkat pertubuhan negara ASEAN.

Isunya kini ialah kita memerlukan lebih banyak penulis Cina dan India memberi sumbangan kepada perkembangan bahasa dan sastera Melayu melalui hasil penulisan mereka. Kita perlukan penulis mereka sebaik Jong Chian Lai, Saroja Thevi, Uthaya Sankar, Raja Rajeswari dan sebagainya.

Hal ini kerana bahasa dan sastera yang berstatus kebangsaan memerlukan sumbangan berterusan daripada semua bangsa, kaum dan etnik di negara ini. Dengan cara itu produk budaya bernama bahasa dan sastera kebangsaan menemukan jati diri sebuah kebudayaan negara bangsa.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan pensyarah kanan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Berita Harian X