Sabtu, 14 Januari 2017 | 8:44pm

Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas


SEPASUKAN anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam menjalankan kerja mencari dan menyelamat dua sahabat yang dikhuatiri lemas di Pantai Bukit Keluang, Jertih, petang tadi.

JERTIH: Dua sahabat dikhuatiri lemas selepas dipercayai ditarik arus ketika mandi di Pantai Bukit Keluang, dekat sini, petang tadi.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Muhammad Izzat Haikal Alias, 12, dan Nik Mohd Haikal Fitri Shamsuddin,13, dari Kampung Raja, di sini.

Kedua-dua mangsa dikatakan datang ke pantai berkenaan menaiki basikal bersama empat lagi rakan lain.

Bagaimanapun, Ahmad Osama Hafiz Salleh, 15, dari Kampung Gelam Mas; Mohammad Zaim Syamil, 13; Mohammad Ridha Sukiman, 12, dan Muhammad Arif Mohd Asri, 13, sempat menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kasmani Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, enam mangsa mandi di pantai berkenaan sebelum dikatakan ditarik ombak kuat, namun dua sahabat itu gagal menyelamatkan diri sebelum hilang.

"Mereka datang menaiki basikal ke pantai ini dan dipercayai tanpa pengetahuan keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Besut dan Angkatan Pertahanan Awam.

11 dibaca
Berita Harian X