Sabtu, 14 Januari 2017 | 6:40pm

Abu Sayyaf bebaskan tebusan Korea Selatan, Filipina


KAPTEN Korea Selatan, Park Chung-Hung (kanan) dan Glenn Alindajao (tengah) dibebaskan hari ini, selepas diculik suspek militan di selatan Filipina tiga bulan lalu. - Foto AFP

JOLO: Seorang kapten kapal Korea Selatan dan kru warga Filipina yang diculik suspek militan di selatan negara itu tiga bulan lalu dibebaskan hari ini, kata Penasihat Damai Presiden Filipina, Jesus Dureza.

Dureza, yang juga pembantu kanan Presiden Rodrigo Duterte, mengambil dua tebusan di Sulu, kepulauan terpencil terkenal sebagai tempat persembunyian militan dan membawa mereka ke Davao, bandar terletak 600 kilometer dari Sulu.

"Kami hampir berputus asa namun saya bersyukur kami berjaya sampai dengan selamat berikutan bantuan Sir Dureza dan presiden kerana membantu kami," kata kru Filipina, Glenn Alindajao, 31, dalam satu taklimat media.

Kapten Korea Selatan, Park Chung-Hung, 38, bagaimanapun tidak bercakap dengan media namun seperti Alindajao, jelas ditumbuhi jambang ketika ditawan.

Oktober lalu, tentera Filipina berkata, lelaki bersenjata mengenalkan diri sebagai militan Abu Sayyaf, menculik kedua-duanya dari sebuah kapal kargo Korea Selatan, serangan pertama seumpamanya ke atas kapal dagang.

Penculikan di atas kapal seberat 11,400 tan, Dong Bang Giant 2, berlaku di luar kawasan selatan Terusan Sibutu, laluan seluas 29 kilometer digunakan kapal dagang ketika transit antara Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

Dureza berkata, tawanan yang dibebas akan diterbangkan ke Manila dan kemudian diberi taklimat, menambah kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), yang kini berunding dengan kerajaan, membantu membebaskan tebusan. - AFP

12 dibaca
Berita Harian X