Sabtu, 14 Januari 2017 | 6:36pm

250 keluarga terima bantuan Titipan Kasih Harian Metro-Giant


MUSTAPA (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa banjir pada program Titipan Kasih Harian Metro-Giants di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah, Kampung Bongor, Pasir Mas, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PASIR MAS: Seramai 250 keluarga di Mukim Alor Pasir, di sini, menerima bantuan banjir menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (HM)-Pasaraya Giant.

Bantuan disampaikan Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Kampung Bongor, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, Program Titipan Kasih HM adalah program tahunan pihaknya dan kali ini ia diadakan khas bertujuan membantu mereka yang menjadi mangsa banjir di Kelantan akhir bulan lalu.

"Program ini adalah yang pertama untuk tahun ini hasil kerjasama Giant dan HM.

"Seramai 60 sukarelawan terbabit dalam program ini. Tahun ini kami memberi sumbangan di dua negeri iaitu Terengganu dan Kelantan yang dilanda bencana banjir.

"Sumbangan yang diberikan berupa keperluan asas dan pihak sekolah ini juga menerima bantuan seperti peralatan sekolah dan cat dinding," katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan, di sini hari ini.

Mustapa berkata, program yang dilaksanakan itu bukan sahaja dapat membantu meringankan beban mangsa banjir, sebaliknya mendekatkan kakitangan HM dengan pembaca.

"Program ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu aktiviti murni bersama masyarakat," katanya.

Berita Harian X