Sabtu, 14 Januari 2017 | 4:54pm

Kedai Koperasi Seri Cempaka bantu usahawan wanita


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat barangan di Kedai Koperasi Seri Cempaka di Dataran al-Hamra, Pasir Gudang pada majlis perasmian kedai tersebut, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

PASIR GUDANG: Pembukaan rasmi Kedai Koperasi Seri Cempaka di Dataran al-Hamra di sini, dilihat sebagai batu loncatan kepada usaha membantu usahanita golongan ibu tunggal.

Majlis perasmian kedai koperasi yang dianggotai 57 usahanita itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), A Rahim Nin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Normala berkata, sebagai Ahli Parlimen kawasan itu, idea mewujudkan kedai koperasi terbabit bertujuan menangani kos sara hidup yang menjadi kebimbangan setiap keluarga.

Kedai koperasi yang beroperasi sejak September tahun lalu itu, katanya, menyediakan ruang perniagaan untuk peniaga kecil berniaga bagi menambah pendapatan menampung kos sara hidup.

"Seramai 57 peniaga kecil wanita mula menikmati hasil pelaksanaan kedai koperasi ini dan pendapatan yang selama ini hanya RM50 sehari meningkat sehingga RM200 menerusi penjualan produk seperti kuih.

"Bagi peringkat permulaan, Koperasi Seri Cempaka menyasarkan pembabitan 500 ahli dan mampu direalisasikan susulan sambutan menggalakkan," katanya kepada BH ketika ditemui selepas majlis perasmian Kedai Koperasi Seri Cempaka dan Mesyuarat Agung Koperasi Seri Cempaka di sini, hari ini.

Normala berkata, bagi perancangan jangka panjang, pihaknya akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk meluluskan tapak bagi dijadikan pusat industri desa dalam kawasan parlimen Pasir Gudang.

"Kelab Usahanita P159 Parlimen Pasir Gudang turut menguruskan Pasarnita Scientex sejak September tahun lalu membabitkan 37 peniaga.

"Menyusul selepas ini ialah Pasarnita Johor Jaya, Pasarnita Laman Tasek dan Taman Cendana di sini, selain `flea market' di Bukit Layang-Layang setiap Sabtu jam 4 petang hingga 7 malam membabitkan 25 ahli kelab," katanya.

Berita Harian X