Sabtu, 14 Januari 2017 | 2:18pm

Warga emas maut terjatuh di kawasan air terjun

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang terjatuh di kawasan air terjun di Kampung Kuala Tuang, Pulai, Guan Musang, semalam. - Foto ihsan bomba

GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh di kawasan air terjun dengan ketinggian 10 meter, di Kampung Kuala Tuang, Pulai, di sini, semalam.

Mayat mangsa, Chan Fok Lam, 75, ditemui dalam keadaan terapung jam 8 pagi, selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Simpang Pulai, Jalan Kuala Lipis, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa ditemui menantunya, Wong Man Too, 48, yang melancarkan gerakan mencari bersama ahli keluarga sebaik menyedari bapanya tidak pulang hingga lewat malam pada hari kejadian.

Wong berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 8 pagi kelmarin, dia bersama bapa mentuanya ke lokasi berkenaan untuk membersihkan kebun dan berdepan masalah air kerana paip tersumbat.

"Ketika itu, bapa mentua seorang diri menaiki kawasan puncak air terjun untuk membaiki paip tadahan, manakala saya pulang ke rumah di bandar.

"Sehingga lewat petang bapa tidak pulang ke rumah dan kami mengesyaki berlaku kejadian tidak diingini dan pada masa sama melaporkan kepada pihak polis.

"Sebaik kami sekeluarga keluar mencari bermula jam 6 pagi semalam, mayat bapa mentua ditemui terapung di kawasan air terjun dan saya percaya bapa terjatuh dari kawasan puncak itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail, ketika dihubungi mengesakan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X