Sabtu, 14 Januari 2017 | 2:07pm

Pelajar lemas ketika mandi di tasik


ANGGOTA bomba mengangkat mayat Muhammad Ishaqnur yang lemas ketika mandi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang pelajar ditemui lemas di kawasan Tasik Puteri Bukit Besi, dekat sini, tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Ishaqnur Abd Latiff, 17, ditemui tersangkut pada batang kayu oleh anggota Bomba dan Penyelamat dari Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS) kira-kira jam 12.42 tengah hari. 

Mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Chatak, di sini, dikatakan ke kawasan terbabit untuk mandi bersama beberapa rakannya kira-kira jam 10 pagi. 

Sebaik tiba, mangsa terus mandi, manakala rakan yang lain sedang menukar pakaian sebelum mendapati mangsa hilang. 

Rakan yang menyedari kehilangan mangsa kemudian bertindak menghubungi Balai Polis Bukit Besi bagi memaklumkan kejadian itu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Penolong Penguasa Bomba Jaswari Awang, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 10.30 pagi dan terus melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa. 

Beliau berkata, seramai lapan anggota bomba AMBS dibantu lapan anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) menemui mayat mangsa tersangkut di batang kayu. 

Berita Harian X