Sabtu, 14 Januari 2017 | 10:35am

Pemandu lori kontena maut rempuh treler

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori kontena dan sebuah treler di Kilometer 21 Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara di sini, awal pagi tadi. -Foto Ihsan Bomba

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori kontena maut manakala dua kelindannya cedera selepas kenderaan itu merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 21 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah ke utara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi itu, Aswan Mansyur, 28, yang berasal dari Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduknya.

Sementara itu, dua kelindan lori kontena terbabit, Norhisham Mohd Noor, 28, juga berasal dari Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor dan rakannya, Mohd Rafi Abdul Shukor, 30, dari Taman Ria, Batu Pahat, Johor, cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sabri A Samsudeen, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dibantu anggota Bomba dan Penyelamat Damansara dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit.

"Anggota kita terpaksa menggunakan alat pemotong besi Hydraulic Power Unit Rescue Tools untuk mengeluarkan pemandu lori kontena yang tersepit dalam kepala lori yang remuk.

"Salah seorang mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian manakala seorang lagi kelindan yang turut tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan ambulans," katanya ketika dihubungi BH, tadi.

Katanya, kepala lori kontena terbabit melekat pada bahagian belakang lori treler yang dirempuh menyebabkan pihaknya terpaksa meminta bantuan lori penunda kenderaan untuk memisahkannya terlebih dulu sebelum berjaya mengeluarkan pemandu yang tersepit.

Lori kontena terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Johor ke Setiawan, Perak manakala lori treler dalam perjalanan untuk ke Kelantan.

Berita Harian X