Sabtu, 14 Januari 2017 | 12:01am

Keith Foo bosan berlakon?

KIRA-KIRA tiga tahun lalu, fenomena drama rantaian, Ariana Rose arahan Raja Ahmad Alauddin memberi impak yang begitu besar dalam kerjaya seni aktor kacak, Keith Foo, 34.

Sekelip mata, nama Keith dan gandingannya, Nur Fathia Abdul Latiff meluncur ke puncak populariti dan menjadi kegilaan peminat.

Watak Tengku Adam Kamil memberi tuah kepada Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin hingga menjadi buruan pengarah drama mahupun filem. Populariti mencanak yang diraih hampir empat tahun lalu, turut menimbulkan desas-desus mengatakan pelakon kacukan India-Cina itu sudah mula 'demanding'.

Populariti Keith yang ketika itu, baru saja pulang ke Malaysia selepas lebih 10 tahun mencipta nama di negara seberang meletakkan dirinya pada kedudukan paling selesa. Panas yang diharapkan berpanjangan, namun mendung yang datang turut mengheret bersama populariti Keith yang sedang mekar.

Pelakon itu dilihat seperti tidak mampu mengekalkan momentum yang pernah diciptanya. Namanya semakin tenggelam, malah perhatian peminat terutama di laman sosial juga tidak lagi sehangat dulu. Apakah ia memberi petanda zaman populariti Keith sudah beransur berlalu?


AKTOR, Keith Foo. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Menemuramah jejaka kacak ini, Keith meluahkan isi hati dan perancangan masa depan biarpun ramai menganggap sinarnya makin kelam.

Mengaku sudah tujuh bulan tidak turun ke lokasi penggambaran, Keith memberitahu, dia sebenarnya mahu berehat panjang.

"Tawaran lakonan masih diterima, tetapi saya memilih berehat panjang untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

"Secara jujur, saya gembira, tenang malah langsung tidak tertekan dengan belenggu masalah kerja," katanya kepada BH Plus.

Keith berkata, dia akan hanya kembali berlakon pada Mac depan.

"Ketika ini, saya mahu memberikan tumpuan kepada keluarga.

"Sejak pulang dari Indonesia hampir lima tahun lalu, saya tidak henti-henti bekerja. Saya juga jarang berkesempatan menjenguk ibu dan bapa yang menetap di Gemas, Negeri Sembilan.

"Sejak bercuti panjang, setiap minggu, saya akan pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama keluarga... Seronok sangat," katanya.


KEITH berpegang kepada prinsip, populariti berkait rapat dengan disiplin dan hasil kerja seseorang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Isteri hamil empat bulan

Ditanya apakah faktor tawaran tidak sehebat dulu menyebabkan Keith terpaksa memperlahankan rentak dalam lakonan? Suami kepada Kim Raymond Foo ini memberitahu:

"Setakat ini, saya masih menerima banyak tawaran berlakon drama dan filem. Ada produser dan pengarah yang berkecil hati kerana saya kerap menolak tawaran mereka.

"Saya tidak rasa populariti merudum, cuma ia pilihan saya selepas menolak banyak tawaran. Mungkin disebabkan kurang berlakon dan wajah pula jarang kelihatan di kaca televisyen (TV), ada yang menganggap saya sudah tiada kerja," katanya.

Sejujurnya, Keith memberitahu, dia hanya mahu berehat dan memberi tumpuan kepada keluarga.

"Sebelum ini, saya terlalu penat bekerja hingga soal membina keluarga tidak sempat saya difikirkan. Saya mahu menimang cahaya mata, jadi saya harus berehat.

"Syukur kerana isteri sudah hamil empat bulan. Saya tahu, jika masih bekerja dan terkejar-kejar di lokasi penggambaran dari siang hingga ke malam, harapan untuk mendapat cahaya mata amat tipis. Jadi, saya ambil keputusan berehat dan banyakkan masa bercuti bersama isteri," katanya.


WATAK Tengku Adam Kamil memberi tuah kepada Keith hingga menjadi buruan pengarah drama mahupun filem. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Keith berkata, dia dan isteri sangat teruja menanti kelahiran anak pertama.

"Saya dan isteri memang tidak sabar mahu memiliki cahaya mata, malah saya suka kanak-kanak. Saya gembira selepas lebih dua tahun berkahwin, impian kami untuk menimang cahaya mata akan tercapai.

"Penantian kami berakhir. Saya dan Kim terima saja anak lelaki mahupun perempuan. Kami tidak kisah," katanya yang banyak meluangkan masa dengan isteri sejak tidak bekerja.

Ditanya soal populariti seseorang artis akan goyah apabila mendirikan rumah tangga, Keith menafikan perkara itu.

"Saya tidak menganggap perkahwinan mengganggu populariti seseorang artis. Saya masih berpegang kepada prinsip, populariti berkait rapat dengan disiplin dan hasil kerja seseorang.

"Saya bersyukur isteri saya disenangi ramai pengikut sejak dulu lagi. Kadang-kala, saya dapat merasai Kim lebih popular berbanding saya.

INFO

  • Mula menjadi model komersial pada usia 15 tahun dengan membintangi iklan telefon bimbit.

  • Disangka beragama Islam kerana memegang watak Tengku Adam Kamil dalam Ariana Rose.

  • Fasih berbahasa Mandarin, Hailam, Kantonis, Tamil, Inggeris dan Indonesia.

  • Pernah membintangi filem di Indonesia seperti Mati Suri (2009), Paku Kuntilanak (2009), Bidadari Jakarta (2010), Pengantin Pantai Biru (2010), Akibat Pergaulan Bebas 2 (2011), X - The Last Moment (2011), Hantu Budeg (2012) dan Perempuan di Rumah Angker (2012).
18 dibaca
KEITH memilih berehat panjang untuk memberi tumpuan kepada keluarga. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X