Jumaat, 13 Januari 2017 | 8:39pm

THA 72 selangkah untuk bergelar juara


Krew pasukan Mata Hari ketika beraksi dalam perlumbaan pada hari keempat bagi kategori "IRC 1" Kejohanan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR2017). - Foto NSTP/Azhar Ramli

LANGKAWI: Lima kemenangan dalam enam perlumbaan meletakkan pendatang baharu, THA 72 di landasan tepat untuk menjuarai kelas Racing di Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2017.

Meskipun belum mengesahkan kejuaraan, kejayaan memenangi perlumbaan 5 dan 6 di perairan timur Langkawi petang tadi, menyaksikan pasukan dari Thailand itu hampir 90 peratus sudah bergelar juara edisi ke-15 ini.

Ini berikutan pencabar terdekat Emagine dari Australia jauh ketinggalan sembilan mata kepada THA 72 yang mengutip tujuh mata dengan pasukan di tangga ketiga Black Bazza (18 mata).

Dengan esok menjadi hari terakhir perlumbaan, pasukan yang dikemudi Don Whitchart itu kini hanya perlu menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dalam dua perlumbaan yang ditawarkan esok.

Jika muncul juara, mereka akan mencipta sejarah baharu di RLIR yang menyaksikan Whitcraft bakal muncul jurumudi termuda memenangi kelas racing dalam saingan regatta terbesar negara itu.

Whitcraft baharu saja mencecah usia 21 tahun ketika ini.

Sementara itu, hajat pasukan negara dari Tentera Laut Diraja Malaysia - Uranus untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik tampak sukar apabila menamatkan perlumbaan 5 dan 6 di kedudukan terakhir.

Bagi kelas IRC 1, menyaksikan pasukan Mata Hari tidak menunggu lama untuk memahat nama sebagai juara baharu kelas berkenaan dengan melengkapkan kemenangan keenam berturut-turut pada hari ketiga hari ini.

Lebih menarik, ia gelaran ketiga berturut-turut buat pasukan yang diketuai jurumudi Vincent Chan di RLIR selepas menjuarai kelas IRC 2 pada edisi 2016 dan 2015.

Berita Harian X