Jumaat, 13 Januari 2017 | 7:28pm

Abang Jo diharap perjuang hak pribumi


Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, ketika mempengerusikan Sidang Media berhubung masalah perumahan di Tingkat 12, Land Custody and Development Authority (PELITA) Wisma Satok. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

MIRI: Masyarakat Dayak di Sarawak yakin Datuk Amar Abang Johari Openg mampu memperjuangkan hak pribumi rakyat negeri ini.

Presiden Persatuan Dayak Sarawak, Mejar (B) Colin Imran, berkata antara isu yang tidak sempat diberi perhatian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem adalah berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seperti 'Pemakai Menua' atau Pulau Galau' yang cuba dimansuhkan.

Beliau berkata, isu itu dekat di hati masyarakat Dayak Sarawak dan perlu mendapat perhatian serius daripada kerajaan negeri.

"Masyarakat Dayak mahu setiap pengganti Adenan memahami jiwa rakyat pribumi dan mampu menyelesaikan isu berkenaan dengan baik.


Presiden Persatuan Dayak Sarawak, Mejar (B) Kapten Colin Imran

"Ketua Menteri baharu ini tidak akan mengalami masalah berbuat demikian kerana beliau adalah ahli politik lama di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kepemimpinan baharu perlu menjiwai kehendak semua lapisan masyarakat di negeri ini seperti prinsip ditekankan Adenan.

Colin percaya Abang Johari akan memastikan hak rakyat Sarawak terjamin sepenuhnya.

"Adenan adalah pemimpin sebenar memperjuang hak rakyat Sarawak. Beliau berani menggesa Kerajaan Persekutuan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Perkara pertama dilakukannya adalah memasukkan istilah 'Dayak' dalam semua borang kerajaan kerana percaya Dayak adalah sama penting dengan kaum lain di Malaysia.

"Kami harap Abang Johari mengambil pendekatan sama," katanya.

Di Sarikei, Setiausaha Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kuala Rajang, Iskandar Naziri, berkata penduduk setempat yakin Abang Johari meneruskan kesinambungan agenda pembangunan dan akan menambah baik program sosio ekonomi sedia ada.

"Saya mewakili penduduk Kuala Rajang menyokong pelantikan Abang Johari sebagai Ketua Menteri. Kepemimpinan beliau cukup terserlah dalam pelbagai sudut dan kita yakin beliau berupaya membawa semangat baharu kepada barisan kepemimpinan negeri," katanya kepada BH, di sini semalam.

Wakil penduduk Meradong, Hemi Morsili, berkata semua pihak memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Abang Johari, sama seperti sokongan terhadap Adenan.

"Kami anak Sarawak berharap Ketua Menteri baharu meneruskan perjuangan Tok Nan membela dan mengangkat martabat negeri," katanya.

Mohammad Arif  Sahari, 36, dari Kampung Betanak, di sini, percaya Johari pastinya memiliki cara kepemimpinan tersendiri.

"Beliau seorang prihatin dan tahu apa yang dimahukan oleh rakyat terutama di luar bandar Sarawak," katanya.

Berita Harian X