Jumaat, 13 Januari 2017 | 6:47pm

250 mangsa banjir terima bantuan TKHM-Giant


Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (empat dari kiri) dan Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro, Othman Mamat (tengah) bergambar bersama pelajar tahfiz selepas menyampaikan sumbangan sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2017 di Madrasah Darul Ansar Kampung Basung, Kuala Berang. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA BERANG: Seramai 250 mangsa banjir dari Kampung Basung, Kampung Pasir Dula dan Madrasah Darul Ansar di sini, menerima bantuan pelbagai barang keperluan dan makanan menerusi program Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) - Giant, hari ini.

Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar, berkata Misi Banjir TKHM-Giant yang pertama tahun ini adalah kelangsungan kepada program TKHM yang diadakan secara tahunan dan kali ini pihaknya mendapat kerjasama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant).

"Kita berharap dengan bantuan pelbagai barang keperluan dan makanan seperti beras, minyak masak, minuman, bekalan makanan, selain peralatan pembersihan seperti baldi, penyapu, penyodok sampah dan sabun dapat mengurangkan beban mangsa banjir.

"Selain itu, kita turut menjalankan kerja gotong-royong mengecat dan mengemas sekitar kawasan Madrasah Darul Ansar yang turut terjejas dalam banjir baru-baru ini," katanya ditemui pada program Misi Bantuan Banjir TKHM-Giant di Kampung Basung, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM yang juga Pengerusi TKHM, Othman Mamat; Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Shahrizal Ayub dan Ketua Biro HM Terengganu, Isma Ismail.

Mustapa berkata, misi sama juga akan diteruskan ke Kelantan esok bagi mengagihkan bantuan sama kepada penduduk terjejas banjir.

Selain Giant, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota), Honda Malaysia Sdn Bhd dan Bermaz Motor Trading Sdn Bhd turut menaja kenderaan Briged Sukarelawan Media Prima- NSTP yang menyertai misi berkenaan.

Mustapa berkata, seramai 50 kakitangan HM, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dan Sukarelawan 'Big Hearted Giant' terbabit dalam misi terbabit.

Sementara itu, Mohd Shahrizal berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM120,000 untuk menyediakan barangan keperluan bagi sumbangan mangsa banjir di sini dan Kelantan esok.

Berita Harian X