Jumaat, 13 Januari 2017 | 5:16pm

Sarawak makmur di bawah pentadbiran baharu

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Yazit Razali

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yakin Sarawak akan terus makmur di bawah pentadbiran baharu diterajui Ketua Menterinya, Datuk Abang Johari Abang Openg.

Ahmad Razif dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengalaman Abang Johari yang luas dalam pentadbiran termasuk sebagai Timbalan Ketua Menteri serta Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah pilihan tepat untuk menerajui Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Adenan Satem, 72, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, jam 1.30 tengah hari Rabu.

"Dengan pengalamannya yang luas dalam pentadbiran dan politik, kita yakin Sarawak akan terus makmur dan maju di bawah pentadbirannya," katanya.

Amar Abang Johari hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Berita Harian X